Followers

Monday, April 27, 2015

Anwar Ibrahim boleh mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh?


 
Kelonggaran untuk menentukan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
    
"Mungkin SPR akan meneliti fasal-fasal yang akan memberi peluang kepada banduan untuk mengundi...tetapi setakat yang saya tahu, banduan tidak ada hak untuk mengundi.
    
"Jika terdapat fasal untuk membenarkan banduan mengundi, saya pasti SPR akan menyediakan kertas undi untuk dihantar ke Penjara Sungai Buloh untuk individuitu mengundi," kata Zahid yang juga pengarah PRK Permatang Pauh.
    
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar supaya memberi kelonggaran kepada bapanya untuk mengundi.
    

Sementara itu, Nurul Izzah berkata permintaan beliau itu sejajar dengan saranan Ahmad Zahid pada Julai 2013, bahawa kementerian sedang mengkaji mekanisme yang sesuai membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Saya sambut baik saranan Menteri Dalam Negeri dan mencadangkan agar PRK Permatang Pauh dijadikan projek perintis kayu ukur, dengan membenarkan Anwar, yang kami tegaskan sebagai tahanan politik, mengundi pada 7 Mei nanti," katanya dalam sidang media berasingan.
    
Menurut Ahmad Zahid ketika itu, antara aspek yang perlu diteliti ialah mengenai undang-undang yang diperuntukkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan banduan mengundi.
    
Katanya jika banduan yang telah tiga tahun dalam penjara atau dihukum penjara lebih daripada tiga tahun, mungkin perlu mekanisme sesuai untuk (membolehkan) mereka mengundi di kawasan penjara yang ditempatkan.
    
PRK Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia).
    
PRK ini diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.
    
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya.
  
-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.