Followers

Saturday, April 18, 2015

6 minggu perang saraf PAS leburkan siapa?

 
 
Kira-kira enam minggu sebelum pemilihan PAS Jun ini, perang saraf antara kumpulan pro-Pakatan Rakyat dan pro-ulama dalam parti Islam itu dilihat semakin sengit.

Dikatakan antara persaingan paling sengit dalam sejarah pemilihan PAS selepas ketegangan 80-an, muktamar kali ini turut menyaksikan kewibawaan presiden dipertikaikan secara terbuka oleh anggotanya.

Perang saraf yang dulu membenih di media sosial, kini dilihat melebar melalui risalah kecaman yang diedarkan secara fizikal.

Dalam kempen terbaru, risalah bertajuk "Siapakah perosak sebenar PAS?" didakwa mula diedarkan sekitar Batu Caves, Selangor, yang menyerang beberapa pemimpin “parasit” parti itu.

Di alam maya, pelbagai media digunakan – daripada Facebook ke WhatsApp – oleh kedua-dua belah pihak berbeza pandangan bagi menobatkan wira masing-masing.

Pemilihan PAS ke-61 akan diadakan pada 4 hingga 6 Jun ini dalam keadaan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin dicabar – keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati, perang saraf dua kumpulan itu di Facebook amat rancak apabila hampir setiap jam status baru dinaikkan bagi mengecam individu atau pemimpin tertentu dalam PAS.

Malah, terdapat juga beberapa akaun Facebook yang dibuat khas semata-mata untuk mengecam pemimpin tertentu.

Walaupun gelar menggelar saling dilontarkan kedua-dua pihak, kumpulan pro-ulama dilihat mendahului kempen, malah lebih agresif dan kelihatan tersusun berbanding kumpulan pro-Pakatan.

Dari JEBON ke Hawaii Five-O

Dengan gelaran negatif dilempar bertubi-tubi, secara tidak langsung, fokus pesaing mereka terperangkap dalam mode defensif untuk mempertahankan diri, daripada menyatakan misi masing-masing.

Kumpulan itu dengan jayanya dilabel sebagai Jemaah Buat Onar dengan singkatan JEBON, Hawaii Five-O (didakwa diterajui pemimpin profesional PAS Dr Hatta Ramli (kiri), selain ungkapan biasa seperti “munafik haraki” dan “parasit”.

Berlindung di balik “dinding” Facebook, terdapat juga serangan nakal yang menggelarkan diri mereka sebagai Anti-Jebon Incorporated (AJI) yang cuba mempertahankan populariti Hadi dan kepimpinan ulama.

Seramai 21 daripada 32 anggota Jawatankuasa Pusat PAS dimasukkan dalam senarai JEBON itu, termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua naib presiden - Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Tidak terkecuali pemimpin lantang PAS seperti anggota Parlimen Hanipa Maidin dan Khalid Samad serta bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang juga bekas exco Kedah ketika ditadbir PAS, turut dimasukkan dalam senarai itu.

Seperti melancarkan peluru tabur, serangan pengguna Facebook yang berlindung di sebalik identiti “Tuc Tok Usin Ceroi” mungkin paling berjaya apabila mendedahkan rakaman suara mirip Mohamad Sabu yang dikatakan mahu menjatuhkan Hadi.

Sementara itu, di pihak pro-Pakatan pula, kempen mereka lebih kepada mengkritik pentadbiran Hadi yang menjejaskan hubungan dalam Pakatan serta menonjolkan tokoh ulama Ahmad Awang sebagai alternatif menggantikannya.

Ahmad, nama yang semakin dilupakan dalam PAS selepas tidak mempertahankan jawatan naib presiden beberapa tahun lalu, diharapkan mereka kembali “menyelamatkan” parti itu daripada tersasar haluan.

Terlalu kecil, Hadi?

Kumpulan pro-Pakatan juga masih menjaja kisah kerajaan perpaduan (UG) dengan Umno yang pernah dicadangkan Hadi pada 2009 selain keterbukaannya bekerjasama dengan parti lawan ke arah pelaksanaan hudud.

Hadi dipaparkan berbeza pandangan dengan tokoh ikonik PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap kerjasama Pakatan untuk merampas Putrajaya.

Faktor perkembangan media sosial dilihat merancakkan lagi perang saraf kedua-dua pihak berbanding penggunaan blog dan laman forum sebelum ini seperti Malaysia Waves dan Tranungkite.

Tiada malu-malu lagi, “bodoh membodoh” dan "barua membarua"  di kalangan “pendekar papan kekunci” kini dilihat perkara biasa menjelang pemilihan awal Jun ini.

Melihat kepada perkembangan ini, siapakah yang tidak ragu terhadap kenyataan Hadi yang mengatakan perbalahan dalam PAS "terlalu kecil"?

Sementara itu, biar siapa pun berjaya dalam pemilihan kali ini, presiden sesi akan datang mempunyai tugas besar menyatupadukan kembali perpecahan dalam PAS.

Tidak mungkin satu pihak bertelagah boleh dihalau keluar menjadi parti baru begitu sahaja. Formula itu, PAS tanpa ulama atau PAS tanpa profesional, bukan penyelesaiannya.

Sekiranya PAS boleh menukar slogan dari 'Negara Islam' kepada 'Negara Berkebajikan' untuk menambat hati pengundi bukan Islam, tiada salahnya jika segelintir pemimpin PAS sedia ada berubah menjadi lebih terbuka.

Perang enam minggu ini, jika tidak terkawal, berpotensi besar membuatkan yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.