Followers

Wednesday, March 25, 2015

Umno terus tekan PAS agar berpisah

 
Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee terus menekan PAS agar berpisah dengan DAP yang menurutnya akan terus menentang pelaksanaan hudud.

“Bukan sahaja hari ini malah selamanya DAP tidak akan bersetuju hudud PAS dan perkara yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

“Sebelum PAS dianggap dayus oleh penyokong dan rakyat negara ini ada baiknya PAS memutuskan hubungan politik dengan DAP,” katanya.

Katanya, para pemimpin PAS sepatutnya melihat bahawa ia “dibahalulkan” oleh DAP yang hanya menganggap parti Islam itu “melukut di tepi gantang”.

“Seharusnya pemimpin PAS membuka mata besar dan tidak memekakkan telinga dengan pernyataan penghinaan yang dilemparkan oleh (setiausaha agung DAP) Lim Guan Eng terhadap (presiden PAS, Datuk Seri Abdul) Hadi Awang,” katanya.

Tulisan di blog umnobahagiancheras.blogspot.com itu memetik kenyataan Lim yang mengumumkan bahawa DAP kini memutuskan kerjasama dengan Hadi.

Namun, masih ada pemimpin PAS yang masih mahu berbaik-baik dengan DAP, katanya yang merujuk kepada ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan timbalan presiden, Mohamad Sabu.

“Walaupun DAP sudah menjatuhkan talak tiga kepada Hadi namun kedua-dua pemimpin PAS terbabit seolah-olah sudah gila talak mahu menjernihkan hubungan PAS dan DAP.

“Pada padangan saya, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Hadi Awang kerana mahu memberitahu anggota PAS bahawa presiden parti itu tidak lagi relevan mengetuai PAS dan wajar diganti pada muktamar Jun ini,” katanya.

Beliau mendakwa, kenyataan itu menonjolkan sikap DAP sebagai “abang long” dalam Pakatan.

“Apabila sudah menjadi 'abang long' maka mudahlah DAP membuat apa sahaja keputusan dalam Pakatan,” katanya.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.