Kakak kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, berkata tiada siapa yang berhak mempersalahkan abangnya.
Kakak kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, berkata tiada siapa yang berhak mempersalahkan abangnya. –
Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, setia kepada syarikat penerbangan itu, mempunyai segalanya yang dikehendaki dalam hidup dan disayangi keluarga dan rakan, kata kakaknya Sakinab Shah hari ini.
Beliau buat pertama kali memecah kebisuan ahli keluarganya yang selama ini dihadapkan dengan segala teori dan spekulasi negatif mengenai peranan yang dimainkan adiknya dalam misteri terhebat sejarah penerbangan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini menjelang ulang tahun pertama kehilangan pesawat itu Ahad ini, Sakinab berkata tidak sesiapa pun harus menyalahkan Zaharie atas sebarang kesalahan.
"Sepertimana keadaannya sekarang, dengan tiadanya bukti ketara yang boleh dilihat, TIADA SEORANG PUN, sama ada ahli politik, ahli sains, pakar penerbangan, penyiasat kapalterbang terhempas, juruterbang, juruterbang bersara, media atau sesiapa sahaja...
TIADA SEORANG PUN DARI KAMU berhak menyalahkan Zaharie atas sebarang salahlaku," katanya.
Ahli keluarga Zaharie selama ini lebih banyak berdiam diri dan mengelak bertemu media sejak kehilangan MH370 pada 8 Mac tahun lalu, tidak sampai sejam selepas pesawat itu berlepas meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke Beijing.
Anaknya, Ahmad Seth, dipetik akhbar New Straits Times tahun lepas berkata, "Saya baca semua yang ditulis di Internet. Tapi saya tak pedulikan semua spekulasi. Saya lebih kenal bapa saya."
Hanya sekali isteri Zaharie, Faizah Khan, dilaporkan bercakap kepada media, iaitu ketika mengesahkan suara yang kedengaran dalam rakaman suara juruterbang MH370 ketika di kokpit itu milik suaminya.
Sakinab hari ini mengeluarkan kenyataan bagi mengenang adiknya sempena ulangtahun pertama kehilangan pesawat itu melalui laman Facebook 'Friends of Captain Zaharie'.
Dalam kenyataan itu, beliau mengenang kembali bagaimana keluarganya terpaksa menempuhi segala "salah tafsir yang diputarbelit dan menipu" tentang adiknya, dan pada satu ketika, mereka menghantar surat peguam kepada satu media tempatan, memberi amaran agar ia berhenti menyebarkan khabar angin.
"Manusia boleh jadi berhati batu dan tidak ada perasaan. Sengaja hendak memburuk-burukkan keadaan, cerita tentang Zaharie dan Faizah timbul di media mengatakan perkahwinan mereka goyah, dan ada kes perceraian yang sedang tergantung di Mahkamah Syariah...
Blah, blah, blah... semuanya merepek, mengarut. Maaf, pihak media memang sangat mengecewakan kami," katanya.
Ari, panggilan manja untuk adiknya, disayangi ahli keluarga dan amat disenangi khususnya oleh mereka yang lebih muda daripadanya.
Sakinab juga menceritakan bagaimana beliau boleh memperbaiki apa sahaja dan menjadi orang harapan untuk membantu menyiapkan segala kerja-kerja penambahbaikan rumah.
"Dia selalu dicari adik-beradik dan anak-anak saudara.. seorang yang berintegriti," katanya.
Zaharie juga setia kepada MAS, yang membiayai latihan penerbangannya.
"Dia mempunyai rekod penerbangan selama 18,000 jam lebih tanpa cacat cela, saya bangga menyebutnya. Hanya semata-mata dedikasinya terhadap profesion ini yang mendorong beliau memasang simulator penerbangan di rumahnya bagi melengkapkan dirinya supaya boleh memberi pengalaman mengajar yang lebih baik kepada anak muridnya, semuanya atas perbelanjaannya sendiri," katanya.
Simulator itu, serta penemuan mengenai perjalanan yang diambilnya semasa berlatih menggunakan simulator itu, yang menyebabkan tumpuan beralih kepadanya hingga beliau dianggap dalang di sebalik kehilangan MH370.
Data di simulator rumahnya menunjukkan dia berlatih membuat penerbangan di atas selatan Lautan Hindi - dapatan yang kemudiannya selari teori sekarang iaitu MH370 berakhir di Lautan Hindi, berdasarkan data satelit Inmarsat.
Terdapat juga spekulasi mengatakan beliau cuba membunuh diri, tetapi kemungkinan ini ditolak pengarah komersial MAS Hugh Dunleavy, yang mengatakan rekod Zaharie cemerlang dan tidak pernah menunjukkan sebarang sikap atau kelakuan buruk. – 6 Mac, 2015.
http://www.themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.