Followers

Saturday, March 7, 2015

Putrajaya tidak wajar ‘bail out’ 1MDB, tegas Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarah pengauditan ke atas 1MDB dibuat dengan telus.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarah pengauditan ke atas 1MDB dibuat dengan telus.

Sebarang usaha menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini.

Beliau juga berkata, Lembaga Pengarah 1MDB perlu memberi penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

"Saya berpandangan Ketua Audit Negara wajar mengaudit akaun 1MDB secara telus, bebas dan menyeluruh dengan meneliti akaun 1MDB sejak awal penubuhannya.

"Ini kerana beberapa tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu adalah berhubung urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit oleh firma Deloitte," katanya dalam satu kenyataan sambil menyambut baik arahan perdana menteri supaya Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Beliau juga mengatakan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) boleh memulakan siasatannya sendiri terhadap syarikat yang dibebani hutang RM42 bilion itu tanpa perlu menunggu laporan Ketua Audit Negara siap.

Dalam mesyuarat Rabu lalu, jemaah menteri diberikan taklimat oleh 1MDB dan Deloitte berhubung beberapa dakwaan yang dibuat terhadap dana pelaburan strategik itu.

Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan mengarahkan Audit Negara mengesahkan akaun 1MDB itu dan menyerahkan laporannya kepada PAC untuk penelitian lanjut.

Katanya, urusniaga yang diaudit Deloitte hanya bagi tahun kewangan 2013 dan ia tidak termasuk usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International yang dituduh berlaku penyelewengan seperti dilaporkan beberapa portal berita.

"Saya percaya pengauditan yang telus, bebas dan menyeluruh adalah penting untuk membersihkan nama dana pelaburan strategik milik kerajaan itu daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku," katanya.

Muhyiddin juga mahu Ketua Audit Negara diberikan sokongan sumber, kepakaran dan tempoh masa yang tidak terlalu lama menyiapkan laporan yang lengkap dan komprehensif memandangkan dakwaan terhadap 1MDB melibatkan urusniaga korporat yang agak kompleks, menyentuh kepentingan negara dan kerajaan.

"Ini penting untuk memulihkan reputasi 1MDB dan mengembalikan keyakinan pelabur," katanya mengenai 1MDB yang diilhamkan Najib yang juga merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

"Audit forensik hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga 1MDB," katanya.

Muhyiddin berkata, 1MDB mesti memandang serius semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya terutama di media sosial.

Bagi membersihkan namanya, katanya, 1MDB perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang melemparkan tuduhan tidak berasas.

Pada masa sama, katanya, Lembaga Pengarah 1MDB juga perlu mengambil tanggungjawab bersama dan bersedia menghadapi tindakan undang-undang sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kecuaian atau penyelewengan dalam urusniaga 1MDB.

Mengenai urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang, Muhyiddin berkata: "Kerajaan juga akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat."

Semalam, Reuters melaporkan, menurut sumber, 1MDB mungkin dibubarkan di bawah pelan pembayaran balik hutangnya, di mana sebahagian besar asetnya akan dijual.

Di bawah penstrukturan semula yang dirancang ketua barunya Arul Kanda Kandasamy, 1MDB akan menjual 80% daripada unit tenaganya Edra Energy melalui penyenaraian pasaran saham, tiga sumber memberitahu Reuters.

1MDB juga dilaporkan akan menjual sebahagian besar aset tanah dan kepentingannya dalam dua projek hartanah berprofil tinggi itu - TRX dan Bandar Malaysia - selepas memecahkannya kepada beberapa entiti berasingan. – 6 Mac, 2015.

://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.