Followers
Friday, March 13, 2015
Seorang Lagi MP Umno Melalak Dalam Parlimen Pertahan Shafee Abdullah
Pembangkang dicabar mengambil tindakan perundangan dengan menyaman peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung penyertaannya dalam jelajah menjelaskan keputusan sabitan kes liwat terhadap ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cabaran itu dibuat oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) yang mempertikaikan tindakan Muhammad Shafee, selaku ketua pendakwa raya, membuat pendedahan maklumat kepada umum berhubung kes liwat Anwar.
Mohamed Hanipa (kanan) dalam perbahasan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, berkata sebagai pengamal undang-undang, Shafee tidak seharusnya membuat perkara itu selepas selesai tugasannya di mahkamah.
"Apa motifnya dia menyertai roadshow (jelajah) itu... sedangkan bayarannya RM1,000 sahaja. Sepatutnya tugas dia dah berakhir bila kes itu selesai," katanya.
Beliau turut mengkritik tindakan saman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak terhadap Harakah berhubung laporan akhbar itu mengenai dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Mohamed Hanipa mempersoalkan mengapa Najib memilih pihak tertentu untuk disaman sedangkan ada pihak lain yang turut menyiarkan laporan mengenai 1MDB.
Kritikan itu menyebabkan Abdul Azeez bangkit mencelah dengan menempelak Mohamed Hanipa supaya jangan terlalu angkuh dalam membuat kenyataan.
"Jangan angkuh sangat sehingga mencabar... sebenarnya Sepang (Mohamed Hanipa) mahu saman itu ditarik balik terhadap Harakah, tetapi janganlah sampai mengaibkan perdana menteri.
"Dalam konteks Shafee, samanlah beliau tentang roadshow yang dikatakan ada konspirasi politik itu," kata Abdul Azeez (kiri) sambil menegur Mohamed Hanipa agar tidak bersikap biadap.
Tindakan Abdul Azeez mencetuskan kekecohan apabila kedua-dua wakil rakyat itu saling bertikam lidah mempertahankan pendapat masing-masing.
Situasi itu ditenangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said dan meminta Mohamed Hanipa menghabiskan perbahasannya sebelum beliau mengumumkan penangguhan sidang Dewan Rakyat sehingga Isnin depan.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.