Followers

Friday, March 6, 2015

Selesai hutang, 1MDB mungkin dibubar


 

1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang kini dilanda kontroversi dan hutang RM42 bilion, mungkin dibubarkan dalam pelan pembayaran baik hutang-hutangnya, lapor Reuters.

Syarikat pelaburan nasional, cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan jumlah aset AS$14 bilion (RM51 bilion), mengalami kerugian tahun lalu dan hampir-hampir gagal membayar hutangnya.

Kegagalan itu melemahkan ringgit dan pasaran bon Malaysia, sementara pemimpin pembangkang mendesak akaun syarikat itu lebih telus.

Hutang 1MDB termasuk jualan bon RM11 bilion pada 2013, antara terbitan bon global terbesar dari Asia Tenggara.

Dalam rancangan penstrukturan semula, yang dirangka oleh ketua barunya Arul Kanda dan disokong oleh kerajaan, syarikat itu akan menjual 80 peratus kepentingan Edra Energy, syarikat tenaga miliknya, melalui penyenaraian saham, lapor agensi berita itu lagi.

Lebih RM18 bilion hutang 1MDB berkaitan aset tenaga akan diserahkan oleh Edra Energy sebelum penyenaraian, kata sumber-sumber yang dekat dengan syarikat tersebut.

Dana itu, lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Najib, akan menjual sebahagian besar aset tanah dan kepentingannya dalam dua projek hartanah berprofil tinggi, Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

Langkah itu diambil selepas aset tanah dan kepentingannya dipecah-pecahkan kepada entiti lebih kecil seperti dibayangkan dalam semakan strategi yang diumumkan bulan lepas.

Kementerian Kewangan, yang diketuai Najib dan pemilik penuh 1MDB, tidak memberikan sebarang reaksi kepada Reuters.

1MDB berkata bahawa Edra Energy akan menjanakan wang pada 2015, manakala dan projek-projek TRX dan Bandar Malaysia akhirnya akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Proses ini akan menjadikan 1MDB sebagai syarikat kecil yang akan akhirnya dibubarkan sepenuhnya, kata satu sumber kepada agensi berita itu.


Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.