Kiriman Twitter oleh Michelle Yesudas dari Lawyers for Liberty mengundang respon ketua polis negara.
Kiriman Twitter oleh Michelle Yesudas dari Lawyers for Liberty mengundang respon ketua polis negara.
Selepas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen ditahan polis ekoran pandangannya di Twitter mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menggesa peguam Michelle Yesudas menjelaskan tweet yang dikirimnya pada Jumaat.
Khalid menggesa Yesudas menjelaskan tweet berkenaan dan tidak menimbulkan keresahan rakyat ekoran tweet yang dipercayai berkaitan dengan pelaksanaan hukuman hudud.
“Mohon @chelle_yesudas jelaskan kpd @PDRMsia, apa yg dimaksudkan dgn tweet di bawah, jgn timbulkan keresahan rakyat,” kata Khalid melalui akaun Twitter @KBAB51.
Yesudas pada Jumaat mengirim tweet berbunyi: “Because I am positively terrified that these crazy, rape-frenzied people are actually the majority in my country.” (Kerana saya betul-betul takut orang-orang yang tidak siuman dan gila rogol merupakan majoriti negara ini).
Yesudas apabila dihubungi The Malaysian Insider mempersoalkan mengapa Khalid masih menggunakan Twitter untuk menimbulkan ketakutan.
"Sebab itu kita lancarkan kempen terhadap penyalahgunaan Twitter ketua polis negara dan kami harap rakyat Malaysia akan bersama untuk memperjuangkan hak demokrasi kita," katanya merujuk kepada kempen Gerakan Hapus Akta Hasutan yang dilancarkan hari ini.
Menurut Yesudas, polis sudah menghubunginya mengatakan bakal disiasat tidak lama lagi.
Yesudas sebelum ini mengirimkan tweet berkenaan selepas penyampai radio BFM Aisyah Tajuddin menerima ugutan bunuh dan ekoran video yang dimuat naik mengkritik pelaksanaan hudud di Kelantan.
Tweet Khalid itu turut menerima kritikan pengguna media sosial antaranya peguam Syahredzan Johan yang berkata: "Come on la, jelas apa yang dikatakan – dia tidak merujuk kepada mana-mana kaum dan agama. Ia berkait konteks orang ramai menyerang Aisyah.”
Dalam pada itu, Yesudas pada petang ini mengirim tweet berbunyi: “Katakan apa yang anda mahu, mainkan sentimen politik dan kaum yang kamu mahu tetapi saya mengutuk ancaman keganasan dan rogol yang dibuat terhadap sesiapa saja dari mana-mana kaum.
“Jika saya perlu menjawab kepada pihak polis kerana ketakutan saya terhadap peningkatan jenayah, rogol dan ancaman dan ia diguna kepada saya maka sistem itu gagal,” katanya di laman sosial itu.
Yesudas hari ini berkata pihak polis akan menyiasat penerbit stesen radio BFM89.9 dan Aisyah, atas dakwaan melakukan kesalahan dengan alasan agama, selepas stesen itu menyiarkan video yang didakwa mempersoalkan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Katanya, mereka yang di belakang video itu akan dipanggil untuk disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan selepas polis menerima sekurang-kurangnya 5 laporan mengenai video itu diterbitkan daripada pengadu yang merasakan ia mempermainkan kepercayaan agama.
"Kami membuat keputusan memanggil penerbit rancangan itu dan penyampainya kerana selepas membuat permohonan maaf kerana menerbitkan video itu, stesen itu menjelaskan yang Aisyah hanya membaca skrip yang disediakan.
"Video ini juga menyinggung perasaan penganut (Islam) yang merasakan agama mereka dihina," katanya seperti dilapor NST.
Khalid memberi jaminan yang polis juga sedang mengesan mereka yang mengancam Aisyah dengan rogol dan bunuh.
Stesen radio itu sejak Jumaat menarik balik klip video itu, yang merupakan kerjasama antara BFM Media dan Projek Dialog di laman YouTube BFM Kupas, yang dimuat naik pada Khamis dan menerima sekurang-kurangnya 6,000 pandangan dan beratus-ratus komen menghina Aisyah.
Komen yang dibuat termasuk mempertikaikan akidah beliau dan gesaan supaya beliau dibakar hidup-hidup, dirogol, malah ditembak mati.
Ramai juga yang menggesa pihak polis menyiasat Aisyah dan BFM kerana didakwa menghasut. – 23 Mac, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.