Followers

Thursday, March 26, 2015

RM3.81 Bilion SRC International labur ke mana Najib?

 
Syarikat milik Putrajaya, SRC International Sdn Bhd melaburkan sejumlah RM3.81 bilion daripada RM4 bilion yang dipinjam dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), dalam dana yang dikategorikan sebagai “open ended fund” iaitu pelaburan yang tidak diketahui atau tidak boleh diklasifikasikan, kata PKR.

Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli berkata, pelaburan berkenaan hampir sama seperti yang dilakukan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila RM3.1 bilion yang dilaburkan tidak dapat dikesan juruaudit kewangan SRC.

"Kebiasaannya, jika sesebuah syarikat itu melabur dengan membeli saham atau kepentingan di dalam sebuah syarikat yang lain, pelaburan itu akan diperincikan sebagai pelaburan di dalam anak syarikat atau syarikat bersekutu yang akan memberikan maklumat terperinci," katanya dalam satu kenyataan.

"Bagaimanapun, pelaburan sebanyak RM3.81 bilion yang disebut menteri kewangan ini tidak disertakan di dalam penyata kewangan SRC International sebagai pelaburan di dalam anak syarikat atau syarikat bersekutu.

"Ia ditunjukkan di dalam pelaburan yang tidak diketahui dan dinilai sebagai Pelaburan Tahap 3," kata ahli Parlimen Pandan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan dalam jawapan bertulis kepada Rafizi menjelaskan, RM3.81 daripada RM4 bilion dana yang dipinjam daripada KWAP dilaburkan dalam beberapa aset berkait sumber asli di luar negara termasuk di Indonesia dan Mongolia.

"Walaupun soalan saya adalah khusus untuk mengetahui di dalam syarikat manakah pelaburan-pelaburan ini dibuat, menteri kewangan terus mengelak dari memberi maklumat seperti mana beliau mengelak dari menjawab semua soalan berkaitan dengan 1MDB.

"Keadaan ini sama dengan pelaburan-pelaburan yang pernah dibuat oleh 1MDB yang rata-ratanya diklasifikasikan oleh juruaudit sebagai Pelaburan Tahap 3.

"Pelaburan-pelaburan seperti inilah yang akhirnya menyebabkan 1MDB berdepan masalah aliran tunai sehingga terpaksa menangguhkan bayaran hutang kepada bank-bank beberapa kali," katanya.

Rafizi semalam meminta Najib agar mengarahkan SRC memulangkan RM4 bilion yang dipinjam daripada KWAP demi memelihara kepentingan penjawat awam.

Beliau berkata SRC kerugian RM164 juta tanpa mendapatkan keuntungan berdasarkan penyata kewangan terbarunya selepas berpisah daripada 1MDB tiga tahun lalu.

Katanya, SRC menggunakan modus operandi yang hampir sama seperti syarikat berkaitan 1MDB iaitu dengan meminjam amaun wang yang besar dengan jaminan kerajaan tanpa aktiviti perniagaan yang stabil lapor The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.