Followers

Monday, March 30, 2015

Ringgit Malaysia susut kerana faktor luaran - Mohamad Fadli

 
Penyusutan RM membolehkan sebahagian sektor ekonomi di Malaysia akan menerima manfaat dan sebahagian lagi terjejas.
ringgit

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong mendakwa penyusutan pada nilai Ringgit Malaysia (RM) yang berlaku bukan satu kes terpencil tetapi didorong faktor luaran.

Beliau berkata penyusutan RM juga dialami oleh negara serantau yang lain di antara 1.1 peratus sehingga 9.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak September 2014 hingga 20 Mac 2015.

“Pengukuhan dolar AS adalah disebabkan oleh prospek ekonomi AS yang semakin baik dan kemungkinan kenaikan faedah yang menarik minat pelabur terhadap aset dalam nilai Dolar.

“Disebabkan faktor itu negara-negara pengeksport ekonomi termasuk Malaysia turut mengalami kesan selain kejatuhan harga minyak mentah dunia,” katanya di Parlimen.

Katanya lagi, penyusutan RM membolehkan sebahagian sektor ekonomi di Malaysia akan menerima manfaat dan sebahagian lagi akan terjejas.

“Secara khususnya penyusutan nilai RM akan memberi manfaat kepada pengeskport perkilangan negara yang menyumbang dua pertiga daripada jumlah eksport kasar.

“Kejatuhan nilai RM juga akan memberi manfaat kepada industri pelancongan melalui impak positif kepada akaun semasa dalam imbangan pembayaran negara,” kata Ahli Parlimen Labis-BN.

Walau bagaimanapun, penyusutan nilai RM akan menyebabkan kenaikan kos import dan kesan langsung kepada indeks harga pengguna.

“Ini kerana barangan yang diimport secara terus dari luar negara akan menjadi lebih mahal.
“Namun kesan kadar inflasi adalah kecil kerana barangan import tidak termasuk diesel dan petrol mencakupi 7.2 peratus,” katanya lagi.

Tambahnya, penyusutan nilai RM juga akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran berikutan kenaikan bahan mentah yang diimport.

“Namun kesan ini akan diserap oleh harga bahan mentah yang lebih rendah susulan kejatuhan harga minyak global dan harga komoditi,” jelasnya.

Justeru, kerajaan akan terus mengambil langkah seperti memantau rizab antarabangsa bagi menstabilkan pertukaran mata wang.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.