Followers

Friday, March 20, 2015

Ridhuan Tee, kenapa sanggup burukkan bapa sendiri untuk pertahankan dakwaan?

Ridhuan Tee Hina Bapa Sendiri Untuk Bodek Ismail Sabri?

 

PETALING JAYA: Apabila anda mendakwa diri lebih baik daripada orang lain dan cuba melaga-lagakan antara kaum di negara ini, menghina bapa sendiri dalam proses itu hanya membuktikan betapa hipokritnya anda. Bukankah salah satu asas dalam setiap agama adalah menghormati ibubapa?

Itulah yang dilakukan pensyarah kontroversi Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah apabila beliau memilih untuk mempertahankan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung desakan agar beliau memohon maaf di atas kenyataan “boikot peniaga Cina”.


Dalam artikelnya di Sinar Harian 16 Mac lalu, Ridhuan berkata menurut sudut pandang akademik, fakta yang dinyatakan Ismail tidak salah dan tidak mustahil peniaga akan mengambil kesempatan daripada keadaan (dengan mengaut untung dan tidak menurunkan harga selaras dengan penurunan harga minyak.

Beliau menghuraikan hujahnya dengan memburukkan arwah bapanya, dengan berkata: “Masih teringat sewaktu kecil dahulu, saya disuruh oleh arwah bapa saya, seorang peniaga kedai runcit, di kampung Melayu, supaya mencampurkan minyak petrol dengan minyak tanah, beras putih dengan beras merah (perang), mengubah timbangan dan lain-lain lagi. Pendek kata, apa sahaja yang boleh memberikan keuntungan lebih, saya diminta melakukannya walaupun perbuatan itu salah.

Pengarah dan Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa berkata, walaupun bapa Ridhuan bukan beragama Islam, tindakan Ridhuan adalah salah kerana Islam mengajar umatnya untuk menghormati ibubapa dan tidak memburuk-burukkan mereka.



“Tindakan beliau tidak Islamik,” katanya kepada Semut Harian.

Ahmad Farouk berkata, kenyataan Ismail Sabri bersifat umum, maka ia tidak disokong oleh data empirikal.

“Tidak pernah ada kajian yang membuktikan tuduhan itu. Misalnya, orang berkata jika hudud dilaksanakan, kadar jenayah akan berkurang kerana semakin berat hukuman, semakin kurang jenayah.

“Namun, tiada data yang dapat membuktikannya. Malah, kajian menunjukkan kadar jenayah berkurang apabila meningkatnya kesamaan sosial dan ekonomi seperti di negara Scandinavia. Anda boleh buat kenyataan tanpa sokongan data empirikal tetapi ia tidak bermakna apa-apa,” katanya lagi.

Katanya, hujah yang disokong dengan satu kes sahaja dipanggil sebagai “bukti anekdot” dalam komuniti saintifik.

“Bukti anekdot tidak diterima sebagai undang-undang. Dalam kata lain, sifat tamak bukan sahaja ada dalam masyarakat Cina. Ketamakan adalah sifat buruk manusia yang boleh ada dalam mana-mana masyarakat,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, Ismail Sabri didakwa menyeru orang Melayu melalui Facebook untuk memboikot peniaga Cina bagi menekan mereka agar menurunkan harga. Beliau kemudiannya memadamkan posting itu dan menjelaskan, beliau menjelaskan kenyataannya ditujukan kepada peniaga Cina yang licik, bukan masyarakat Cina secara keseluruhan.

Menteri itu dilaporkan enggan memohon maaf, walaupun tindakan undang-undang sudah pun dimulakan oleh Adun DAP Setiawan Datuk Ngeh Koo Ham.

Dalam artikelnya, Ridhuan berkata: “Ultra kiasu terus menekan Datuk Seri Ismail Sabri agar meminta maaf ke atas kenyataannya mengenai kenaikan harga, yang ditujukan khas kepada peniaga Cina yang mengambil kesempatan.

“Saya amat yakin jika Ismail meminta maaf, mereka akan bercanang dan menepuk tangan. Mereka akan jaja merata. Saya tidak nafikan memohon maaf itu satu amalan yang mulia dan amat dituntut dalam Islam. Tetapi dalam kes ini, ternyata telah dipolitikkan.

“Seseorang itu perlu jujur ketika memohon maaf, dan ia sepatutnya terhadap hal yang memang jelas beliau bertanggungjawab. Jangan meminta maaf hanya semata-mata untuk menjernihkan suasana.”

Walaupun Ridhuan barangkali layak digelar Melayu di bawah Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan, beliau tidak boleh memadam hakikat yang beliau lahir sebagai seorang Cina, dan keluar dari Rahim seorang ibu Cina.

Apabila seseorang mengkritik masyarakat Cina dan menuduh mereka mempunyai ciri-ciri yang tidak baik, adakah Ridhuan sedar yang kritikan itu juga terpakai kepadanya?

Jika ciri-ciri itu dikaitkan dengan sesuatu kaum, beliau tidak boleh berhenti menjadi Cina dan maka turut memiliki ciri-ciri itu juga, bukan?

Sudah tiba masanya generalisasi berdasarkan kaum dan agama dihentikan sepenuhnya.

Salahkan individu yang membuat kesalahan tersebut, bukan seluruh kaum atau agamanya.

Dipetik Dari Semut Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.