Seorang peniaga wanita sabar menunggu kedatangan pelanggan di Pasar Besar Siti Khatijah, Kota Baru, Kelantan. Walaupun secara luaran kehidupan penduduk di Kota Baru sudah kembali seperti sedia kala selepas kejadian banjir buruk yang lalu, mereka mengeluh kerana terdapat beberapa harga barangan makanan tertentu naik.
Seorang peniaga wanita sabar menunggu kedatangan pelanggan di Pasar Besar Siti Khatijah, Kota Baru, Kelantan. Walaupun secara luaran kehidupan penduduk di Kota Baru sudah kembali seperti sedia kala selepas kejadian banjir buruk yang lalu, mereka mengeluh kerana terdapat beberapa harga barangan makanan tertentu naik.
Ketika kerajaan negeri Kelantan bersedia membahaskan pindaan kepada undang-undang Syariah pada Rabu ini, bagi membuka jalan kepada pengenalan semula hudud, tumpuan kini kembali tertumpu kepada negeri Melayu yang konservatif ini.
Kelantan hampir secara eksklusifnya diperintah PAS, parti Islam yang beberapa kali cuba – kali terakhir pada 1993 – melaksanakan undang-undang jenayah Islam di negeri itu.
Hakikat yang ia merupakan agenda PAS sejak awal bagaimanapun tidak membuatkan menjadikannya topik membosankan bagi negara dan isu hudud masih menarik perdebatan.
Tetapi berlatar belakangkan suasana ekonomi negara yang semakin tidak menentu dan banjir yang paling teruk dalam sejarah moden melanda negeri itu akhir tahun lepas, lebih ramai rakyat Kelantan yang mahukan pemimpin mereka – dan pemimpin lain di negara ini – mengalihkan fokus mereka daripada hudud kepada isu keperluan asas.
"Semua perbincangan dan kekecohan tentang hudud ini hanya orang luar Kelantan yang kisah," kata Gan Jun Qi, 30, yang memiliki kedai kopi yang popular di Kota Baru.
"Ia bukan sesuatu yang orang sini fikir atau bualkan. Kami lebih kisahkan ekonomi, harga barang yang meningkat selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan bagaimana hidup kami akan terjejas disebabkan semua ini."
Sementara keadaan pasca banjir di Kota Baru kini semakin pulih, masih dapat dilihat tinggalan banjir Disember lepas di jalanan, seperti kesan air lumpur di dinding rumah dan kedai serta bekalan makanan yang berkurangan termasuk ikan dan sayur.
"Kesan banjir kali ini melibatkan semua orang," kata Rosnita Nordin, pesara kakitangan awam yang sedang membeli belah di pagi minggu di pasar Kota Baru.
"Harga ikan naik sebab nelayan kita ramai yang kehilangan bot dan tempat tinggal. Masih tidak pasti akan datang apa yang akan jadi," katanya.
Pembangunan ekonomi dan infrastruktur, atau ketiadaan pembangunan itu, selama ini menjadi faktor utama yang menjadi perbalahan dalam pemerintahan PAS di negeri itu.
Parti itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM281.61 juta bulan lepas untuk pembangunan 2015, jumlah yang dilihat orang ramai sangat kecil dalam keadaan kemiskinan infrastruktur sedia ada di negeri tersebut.
Kelantan kekal sebagai salah satu negeri paling miskin di negara ini, dan ekonominya yang berasaskan pertanian sebahagian besarnya kekal lembap.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunannya tumbuh 3.6% pada 2013, ketinggalan di belakang pertumbuhan KDNK negara pada 4.7%. Purata pendapatan bulanan keluarganya antara yang paling rendah pada 2012, iaitu RM3,168.
Tetapi, bencana besar hujung tahun lalu menarik perhatian paling jelas tentang kekurangan pembangunan moden yang ketara di Kelantan.
Banjir itu menyebabkan kerugian dan kerosakan infrastruktur bernilai kira-kira RM200 juta, dan ratusan juta lagi akan diperlukan bagi membina semula kehidupan lebih 200,000 orang mangsa di pusat pemindahan.
“Pemimpin kami baik, mereka takut Tuhan,” kata Rosnita.
“Tetapi, hidup tak senang macam dulu, dan kami harap mereka boleh lakukan lebih lagi untuk membantu rakyat."
Yang lain bagaimanapun, tidak begitu berlapik dalam menilai kepimpinan negeri.
“Kerajaan negeri hanya pentingkan isu berkaitan agama," rungut Abdul Rashed Abdul Mamat, 62, seorang pemandu teksi yang dilahirkan dan dibesarkan di Kota Baru.
“Mereka terlalu acuh tak acuh dalam soal pembangunan. Setiap kali banjir datang dan pergi, mereka kata ia kerja Tuhan dan kita kena terima sebagai sebahagian hidup kita," katanya.
“Tetapi kenapa kita perlu terima sahaja tanpa berbuat apa-apa? Banyak negara di bawah paras laut, banyak bandar berdekatan pantai, tetapi mereka tak kena banjir macam kita. Kenapa kita tak boleh belajar dari mereka?"
Bagi Raja Shamri Raja Husin, seorang sukarelawan yang aktif menyalurkan bantuan semasa banjir baru-baru ini, kini masanya untuk politik diketepikan sementara bagi membolehkan isu yang lebih 'praktikal dan mendesak' diberi keutamaan.
Katanya, ribuan penduduk Kelantan masih tidak berumah dua bulan selepas paras air surut, dan isu hudud begitu jauh kaitannya dengan sentimen sebenar rakyat negeri itu.
"Hudud ialah mainan politik dan alat media," katanya kepada The Malaysian Insider.
“Apa yang lebih penting dan mendesak sekarang bukannya hudud, tetapi ekonomi, pengangguran dan banyak lagi," kata Raja Shamri, yang masih menyalurkan bantuan ke pedalaman Kelantan yang memerlukan makanan dan bantuan membina semula rumah dan kehidupan mereka.
“Ada bayi yang perlukan susu, kanak-kanak tak cukup pakaian kering dan keluarga tinggal di pondok usang.
"Inilah isunya, bukan hudud yang pemimpin mesti lihat sekarang." – 15 Mac, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.