Presiden Umno Datuk Seri Najib
Razak tidak mampu dijatuhkan melainkan ditekan dengan isu kontroversi
yang melibatkannya dengan pengurusan wang negara dan isu peribadi, kata
wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times (NSTP) itu berkata, isu terbabit adalah 1Malaysia Development Berhad
(1MDB), Pembangunan PFI Sdn Bhd, SRC International Sdn Bhd dan kejayaan
bekas anggota UTK, Sirul Azhar Umar meloloskan diri ke Australia yang
akan memaksa perdana menteri mengundurkan diri.
"Maaf cakaplah
kalau saya kata, Dr Mahathir, Ku Li dan Daim serta orang ramai yang
sependapat dengan mereka akan kecewa kerana Najib tidak akan berubah dan
tidak akan mengundurkan diri," katanya merujuk kepada Tun Dr Mahathir,
Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Daim Zainuddin.
"Hanya paksaan
atau keterpaksaan berkaitan isu seperti 1MDB, pembangunan PFI Sdn Bhd,
SRC International Sdn Bhd dan kejayaan Sirul Azhar Umar memboloskan diri
ke Australia akan memaksa Mohd Najib mengundurkan diri," katanya dalam
tulisan di blog The Scribe A Kadir Jasin hari ini.
Kadir
berkata sedemikian sebagai responsnya terhadap ucapan Ahli Parlimen Gua
Musang di Dewan Rakyat semalam yang menegur pentadbiran Najib supaya
memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Katanya,
gesaan pemimpin veteran Umno itu tidak akan mengubah tindak-tanduk Najib
kerana ia umpama mencurah air ke atas daun keladi.
Katanya,
salah satu sebab adalah ahli Parlimen Pekan itu merupakan watak terkawal
dan terhutang budi kepada terlalu banyak pihak.
Malah
katanya, Najib dikerumuni dan dikuasai ramai penggilap epal (kaki ampu)
dan "jemuan" yang tidak akan membenarkan beliau berubah apatah lagi
mengundurkan diri.
"Bagi meringkaskan pengistilahan, saya singkatkan golongan ini sebagai PEJ – penggilap epal dan 'jemuan'," katanya.
al-Husseyn
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.