Followers

Thursday, March 19, 2015

Hanya isu 1MDB, Sirul boleh jatuhkan Najib, kata wartawan veteran

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin menamakan isu 1MDB serta Sirul Azhar Umar yang berjaya melarikan diri ke Australi sebagai perkara-perkara yang boleh menekan perdana menteri untuk mengundurkan diri.

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin menamakan isu 1MDB serta Sirul Azhar Umar yang berjaya melarikan diri ke Australi sebagai perkara-perkara yang boleh menekan perdana menteri untuk mengundurkan diri.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak mampu dijatuhkan melainkan ditekan dengan isu kontroversi yang melibatkannya dengan pengurusan wang negara dan isu peribadi, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times (NSTP) itu berkata, isu terbabit adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Pembangunan PFI Sdn Bhd, SRC International Sdn Bhd dan kejayaan bekas anggota UTK, Sirul Azhar Umar meloloskan diri ke Australia yang akan memaksa perdana menteri mengundurkan diri.

"Maaf cakaplah kalau saya kata, Dr Mahathir, Ku Li dan Daim serta orang ramai yang sependapat dengan mereka akan kecewa kerana Najib tidak akan berubah dan tidak akan mengundurkan diri," katanya merujuk kepada Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Daim Zainuddin.

"Hanya paksaan atau keterpaksaan berkaitan isu seperti 1MDB, pembangunan PFI Sdn Bhd, SRC International Sdn Bhd dan kejayaan Sirul Azhar Umar memboloskan diri ke Australia akan memaksa Mohd Najib mengundurkan diri," katanya dalam tulisan di blog The Scribe A Kadir Jasin hari ini.

Kadir berkata sedemikian sebagai responsnya terhadap ucapan Ahli Parlimen Gua Musang di Dewan Rakyat semalam yang menegur pentadbiran Najib supaya memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, gesaan pemimpin veteran Umno itu tidak akan mengubah tindak-tanduk Najib kerana ia umpama mencurah air ke atas daun keladi.

Katanya, salah satu sebab adalah ahli Parlimen Pekan itu merupakan watak terkawal dan terhutang budi kepada terlalu banyak pihak.

Malah katanya, Najib dikerumuni dan dikuasai ramai penggilap epal (kaki ampu) dan "jemuan" yang tidak akan membenarkan beliau berubah apatah lagi mengundurkan diri.

"Bagi meringkaskan pengistilahan, saya singkatkan golongan ini sebagai PEJ – penggilap epal dan 'jemuan'," katanya.

Kadir turut menyifatkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan sebagai "budak hanyir" apabila memperkecilkan dakwaan Tengku Razaleigh dan menyatakan GST adalah untuk kebaikan rakyat jelata dan bukan untuk membayar semula hutang negara.

"Ahmad Maslan adalah budak hanyir (kanyiaq dalam loghat Utara) dibandingkan dengan Ku Li.

"Oleh sebab dia budak hanyir mungkin dia tidak pun kenal siapa Ku Li sebenarnya. Mungkin dia tidak tahu Ku Li lah yang pegang tangan Najib di Petronas pada pertengahan tahun 1970-an.

"Ku Li lah antara orang terakhir berjumpa Allahyarham Tun Abdul Razak di katil sakitnya di London pada tahun 1976.

"Mungkin orang belajar tinggi di luar negara seperti Ahmad Maslan (di New Zealand) dan berijazah MBA berasa orang lama seperti Ku Li, (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan (Tun) Daim Zainuddin tidak relevan lagi.

"Mungkin orang macam Ahmad Maslan tidak peduli untuk ambil tahu orang seperti Ku Li, Dr Mahathir dan Daimlah yang menjadi penyambung hayat politik Mohd Najib sehingga beliau naik menjadi perdana menteri dan presiden Umno. Mungkin Dr Mahathir dan Daim melakukan kesilapan besar menaikkan Najib," katanya.

Katanya, hanya Majlis Tertinggi (MT) Umno boleh mengubah atau menyingkirkan Najib tetapi terlalu banyak hipokrasi dan penyelamatan diri di kalangan ahli MT sehingga masing-masing takut dilondehkan.

"Pengkritik dan penentang Najib wajib menerima hakikat Najib bukan seperti (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang boleh dinyahkan dengan mudah.

"Pak Lah tidak mempunyai struktur mega seperti Najib. Pak Lah dikelilingi oleh anggota inner circle yang kecil bilangannya. Mohd Najib mempunyai ratusan anggota inner circle dengan pembiayaan yang lumayan," katanya

Katanya, harapan pengkritik dan penentang Najib berjaya boleh diperbaiki hanya jika mereka lebih terbuka dan tidak terlalu bergantung kepada orang lama seperti Dr Mahathir, Daim dan Tengku Razaleigh atau menaruh harapan semata-mata kepada (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin untuk menggerakkan agenda.

"Mereka harus berani berfikir mungkin Ku Li adalah alternatif yang lebih baik menggantikan Mohd Najib sebagai pengganti interim. Mungkin Muhyiddin tidak 100% berminat untuk menggantikan Mohd Najib atau tangan beliau terikat kerana beliau terlalu hampir dengan tampuk kuasa dalam Umno dan kerajaan.

"Mungkin juga ini bukan masanya bagi Dr Mahathir atau Ku Li serta pengikut mereka terperangkap dalam penjara masa ketika mana mereka bermusuhan dan berbeza pendapat," katanya.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.