Followers

Tuesday, March 31, 2015

MB jamin rakyat, kedaulatan Selangor diutamakan FMT Reporters

Komited untuk memuktamadkan perjanjian utama industri air di Selangor dengan syarat kerajaan pusat tidak berganjak daripada semangat dan prinsip dalam terma perjanjian.

azminSHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini memberi jaminan bahawa, kepentingan rakyat dan kedaulatan negeri Selangor akan diutamakan dalam perjanjian penstrukturan air di negeri itu .

Komitmen itu, tegas beliau, adalah selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri itu dimuktamadkan segera.

“Saya dah nyatakan berulang kali bahawa kami komited untuk memuktamadkan perjanjian utama industri air di Selangor dengan syarat kerajaan pusat tidak berganjak daripada semangat dan prinsip dalam terma perjanjian yang telah ditandatangani.

“Dan ini ditegaskan sendiri oleh Sultan Selangor supaya kerajaan negeri memelihara kedaulatan negeri selangor,” katanya di sini, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Selangor yang antara lain mahu perjanjian penstrukturan semula industri air di negeri itu dimuktamadkan segera mengikut perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada 12 September 2014.

Katanya, adalah menjadi prinsip kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor selama ini untuk tidak mempolitikkan perjanjian air yang telah ditandatangani dan pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili bagi memuktamadkan syarat-syarat perjanjian secepat mungkin.

Mohamed Azmin sebelum ini mengumumkan keputusan kerajaan Selangor untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air atas alasan kerajaan Persekutuan melanggar beberapa terma Perjanjian Utama yang ditandatangani September tahun lepas.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.