Followers

Monday, March 9, 2015

Marina Mahathir yakin persoalan MH370 bakal terjawab..?? OLEH DIYANA IBRAHIM

Datin Paduka Marina Mahathir berucap di majlis ulangtahun kehilangan MH370 di Kuala Lumpur untuk menunjukkan tanda solidariti kepada keluarga mangsa. –

Datin Paduka Marina Mahathir berucap di majlis ulangtahun kehilangan MH370 di Kuala Lumpur untuk menunjukkan tanda solidariti kepada keluarga mangsa. –

Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir hari ini memberitahu keluarga mangsa penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 mereka tidak bersendirian dalam kesukaran berdepan dengan tragedi ini kerana ramai sebenarnya tampil memberikan sokongan.

Berucap pada majlis ulangtahun kehilangan MH370, anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, penganjuran acara hari ini sebagai tanda solidariti kepada keluarga mangsa.

"Anda (keluarga MH370) tidak bersendirian kerana sebenarnya ramai yang merasakan untuk anda, anda tidak perlu bersendirian, tidak perlu berjuang sendirian‎, tidak perlu bersedih sendirian kerana ada yang bersedih bersama anda.

“Yang penting jangan putus asa kita yakin satu hari nanti dengan izin tuhan, jawapan akan ditemui," katanya pada majlis tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Susulan dari insiden tersebut, Marina bersama kumpulan sokongan lain memulakan inisiatif dipanggil "dinding harapan" sebagai saluran kepada orang ramai menyampaikan mesej terhadap tragedi itu.

"Pada mulanya saya ingat ia perkara kecil bagaimanapun ia kemudiannya menjadi besar, ramai yang menyertai, kita tidak menjangkakan ia tersebar di beberapa negeri," katanya.

Majlis anjuran "Voice370" dan "next of kin" (Noks) bertujuan untuk tidak melupakan mangsa MH370 dan tidak berputus asa.

Program hari ini dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, saudara-mara dan rakan terdekat mangsa MH370 dan turut disertai orang ramai yang bersama menandatangani petisyen agar Putrajaya tidak berhenti meneruskan pencarian MH370.

Baru-baru ini Biro Keselamatan Pengangkutan Australia menjangkakan pencarian MH370 bakal berakhir Mei ini.

Majlis tersebut bermula kira-kira jam 3 petang diserikan dengan pelbagai acara termasuk tayangan video "tribute" disiarkan secara langsung dari China.

Pada majlis tersebut turut menyaksikan ‎Grace Subatharai, 27 bercakap di khalayak ramai bagi memperingati ibunya.

"Kami sempat memberitahu yang kami menyayangi satu sama lain," katanya mengingati perbualan terakhir bersama ibunya, Anne Daisy antara salah seorang penumpang pesawat MH370.

Grace adalah keluarga terakhir mangsa tragedi yang bersuara ekoran bapanya, Nathan merupakan timbalan pengarah bahagian pengurusan trafik udara di Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Terlibat aktif dengan kumpulan sokongan MH370, Grace mengakui hari ini merupakan pertama kalinya beliau bercakap di hadapan khalayak mengenai keakraban hubungan bersama ibunya.

"Kebelakangan ini anda sering kali lihat saya kerap bersuara kepada media namun hari ini yang pertama kali saya secara menyentuh mengenai perasaan saya secara peribadi apabila kehilangan beliau (ibu)," katanya.

Grace seterusnya berkata kehilangan ibunya bukan merupakan satu yang mudah apatah lagi untuk menerima hakikat bahawa sehingga kini tiada jawapan yang ditemui.

"Ia bukan perkara mudah, saya amat menyayangi ibu saya, saya amat merindui beliau. Beliau adalah segala-galanya untuk saya," katanya dengan nada sebak.

Menurut gadis itu lagi, hubungan bersama ibu bapanya tidak begitu akrab pada mulanya namun ia berubah apabila menyambung pengajiannya di United Kingdom pada 2010.

"Saat itu ia mengubah-gubah segala-galanya, saya menjadi begitu akrab dengan ibu saya. Kami akan bercakap tiap-tiap hari," katanya.

Menurut Grace semasa perbualan kali terakhir beliau sempat memaksa ibunya untuk bercakap dengannya.

"Saya ingat kali terakhir, beliau (ibunya) sangat sibuk untuk berkejar ke lapangan terbang, namun saya tetap memaksa untuk tetap bercakap dengannya.

"Dan beliau beralah dan meluangkan masa bercakap dengan saya, beliau memberi‎tahu amat berbangga dengan saya, dan ayat terakhir ialah memberitahu kami sayang satu sama lain," katanya yang menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan perasaannya.

Pada 8 Mac tahun lalu penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada skrin radar semasa terbang di udara Laut China Selatan, kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi.

Boeing 777-200ER itu dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi pada hari sama. – 8 Mac, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.