KUALA LUMPUR, 15 MAC: Tindakan polis menahan Ketua Pemuda DAP (DAPSY)
Teo Kok Seong termasuk aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat adalah bukti
jelas bagaimana badan penguatkuasaan itu telah menyalahguna kuasa
mereka demi kepentingan pihak tertentu.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pihak polis yang diketuai
oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar kini jelas lebih cenderung menjadi polis
kepada UMNO-BN dan bukan lagi rakyat.
“Saya ingin bertanya kepada Khalid, adakah beliau Ketua Polis Negara (KPN) untuk UMNO-BN atau rakyat?
“Jika Khalid adalah KPN hanya untuk UMNO-BN, baik dia minta UMNO-BN
saja yang bayar gajinya dan bukan lagi dari Parlimen,”kat Kit Siang
dalam satu kenyataan.
Teo Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah semalam telah ditahan
selepas beliau dipanggil memberi keterangan di IPD Dang Wangi berikutan
penglibatannya dalam Himpunan Kita Lawan baru-baru ini.
Beliau telah ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen
9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.
Teo adalah mangsa keenam selepas Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi
Nik Ahmad, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Ketua Angkatan PKR Kelana
Jaya Saifullah Zulkifli, Ketua Setiausaha Pengelola PKR Fariz Musa dan
Bendahari Pemuda PAS Fakhulrazi Mokhtar.
Pada hari yang sama semalam, aktivis Adam Adli dan Ahli Sekretariat
Bersih 2.0 Mandeep Singh turut ditahan di luar perkarangan pusat beli
belah Sogo kerana meneruskan himpunan mingguan Kita Lawan.
Difahamkan, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula akan menjadi mangsa seterusnya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut menggesa Khalid
menjelaskan mengapa pimpinan UMNO-BN seperti Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri serta yang lainnya tidak
pernah langsung ditahan walaupun terbukti telah melakukan kesalahan.
“Mengapa Ismal Sabri yang membuat hasutan perkauman kepada masyarakat
Melayu supaya memboikot perniagaan orang-orang Cina tidak dikenakan
tindakan?
“Bagaimana pula dengan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Mashitah Ibrahim yang berbohong dengan kenyataan menghasut
bahawa orang Cina di Kedah telah membakar helaian Al-Quran?
“Mengapa pemimpin UMNO Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang
menghasut kebencian, ketegangan dan konflik antara kaum apabila mendakwa
kejayaan Kerajaan Negeri adalah berpunca dari perniagaan haram serta
jenayah orang Cina tidak ditahan?
“Kenapa individu-individu ini tidak pernah ditahan reman walau untuk
satu malam di atas kesalahan yang mereka lakukan” soal Kit Siang. –
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.