Followers

Wednesday, March 4, 2015

KDN perlu perjelas status kewarganegaraan Paul Phua, kata PKR

PKR gesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan status warganegara raja judi Paul Phua Wei Seng, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

PKR gesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan status warganegara raja judi Paul Phua Wei Seng, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa memperjelaskan status kewarganegaraan 'raja judi' Paul Phua Wei Seng, individu yang dikatakan terlibat dalam projek membabitkan keselamatan negara susulan sebuah laman web melaporkan lelaki itu merupakan warganegara Montenegro, kata PKR.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata pihaknya menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan perkara itu, kerana beliau sebelum ini menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memaklumkan Phua terlibat dengan projek melibatkan keselamatan negara.

"Laporan tersebut mengatakan beliau mendapat kewarganegaraan Montenegro di antara Oktober 2013 dan Oktober 2014, iaitu sebelum surat bertarikh 18 Disember 2014 yang ditulis Zahid kepada FBI, Amerika Syarikat," kata Fahmi dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Fahmi, yang juga naib ketua Pemuda PKR berkata berdasarkan Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan berhak melucut kerakyatan mana-mana warganegara yang memperoleh kewarganegaraan negara lain.

“Jika kerajaan persekutuan berpuas hati mana-mana warganegara memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka kerajaan persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

"Maka, jika laporan berita ini benar, status kewarganegaraan Paul Phua boleh dipersoalkan. Ini membawa implikasi yang cukup serius," kata Fahmi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Zahid memberikan jawapan sama ada Phua masih lagi seorang warganegara Malaysia, dan sama ada Zahid sedar status kewarganegaraan raja judi itu ketika menulis surat kepada FBI atau tidak.

"Jika Phua bukan lagi warganegara Malaysia, adakah beliau masih membantu kerajaan Malaysia di dalam ‘projek yang melibatkan keselamatan negara’.

"Saya percaya rakyat Malaysia mahu Zahid memberikan satu penjelasan yang menyeluruh mengenai isu ini," katanya.

Zahid sehingga hari ini tidak mendedahkan status bantuan yang diberikan Phua daripada aspek keselamatan negara kerana ia berstatus rahsia besar.

"Berikutan pertikaian kandungan surat saya mengenai Phua membantu kerajaan dalam urusan keselamatan, ia tidak dapat didedahkan kerana membabitkan isu keselamatan yang berstatus besar dan tidak boleh sewenang-wenangnya diwar-warkan kepada umum atas faktor kepentingan dan keselamatan negara.

"Sebagai menteri dalam negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan negara, maka saya menjelaskan status Phua dan kongsi gelap 14K Triad seperti mana yang dinyatakan ketua polis negara iaitu tidak wujud kumpulan kongsi gelap 14K Triad di Malaysia dan Phua bukanlah ahli kepada Kumpulan 14K Triad di Malaysia," katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Kenyataan itu dikeluarkannya bagi menjelaskan isu berhubung surat yang dihantar kepada FBI berhubung Phua yang kini sedang dibicarakan atas pembabitannya dalam kegiatan judi haram di mahkamah Amerika Syarikat. – 4 Mac, 2015.


http://www.themalaysianinsider.com/bahasa

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.