Followers

Friday, March 27, 2015

Haron Din anggap PAS dan DAP putus

 
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menganggap keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang amat melampau dan memberi isyarat yang hubungan Pakatan Rakyat (PR) bakal berkecai.

Haron dalam laporan Utusan Malaysia hari ini turut mengecam DAP kerana menggunakan istilah "pengkhianat" ke atas presiden PAS itu, dan berkata ia tidak patut dikeluarkan rakan sekutu dalam PR sendiri.

Menurutnya, orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu.

“Adakah pada saat seperti ini ketika kita semua mahu perbaiki semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu?
"Memutuskan hubungan dengan presiden mengisyaratkan kepada PR akan berpecah," katanya kepada akhbar milik Umno itu semalam.

Haron mendakwa, yang nyata, bukan PAS memulakan masalah keretakan di dalam PR.

"Tidak fahamkah DAP yang presiden ialah sebahagian dalam parti, dan parti merupakan sebahagian presiden. Jadi, mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan presiden, nak berhubung dengan siapa?

“Parti di bawah arahan presiden. Amat pelik tindakan DAP itu. Kita nampak isyaratnya ialah ke arah itu (berpecah).

"Apa maknanya kalau putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis,” tambah beliau.

Haron dilaporkan turut mempersoalkan kewajaran tindakan DAP itu yang seperti mahu mengajar PAS dan mengarahkan parti itu menukar presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.

Beliau juga berkata, PAS sudah berkali-kali menyatakan kepada DAP supaya keluar daripada gabungan kerjasama antara mereka sekiranya merasakan tidak perlu kepada PR.

Tokoh ulama berpengaruh itu berkata, DAP perlu mengambil keputusan itu tanpa terus berdolak-dalik mencari pelbagai alasan dan menjadikan isu hudud sebagai modal mereka.

Sebaliknya, katanya, PAS menganggap PR masih lagi berguna dan boleh dipertahankan buat ketika ini sehingga keadaan menentukan sebaliknya.

“Kalau DAP rasa mahu keluar, keluar sahaja dan kita tunggu senario politik baharu," katanya kepada Utusan.

Haron meminta DAP merujuk semula keputusan PR dalam soal hudud, di mana ketiga-tiga parti itu "bersetuju untuk tidak bersetuju" tentang agenda perjuangan PAS tersebut.

“Tidak mengapalah kalau mereka menentang hudud, tetapi janganlah sampai buat tuduhan begitu yang kurang sopan,” katanya. - themalaysianinsider


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.