Followers

Monday, March 30, 2015

Gantikan segera Tanah Rizab Melayu yang telah dibatalkan – Sultan Selangor Khairil Ashraf

 Sebarang bentuk penggantian tanah baru harus “serupa keadaannya” dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif. 

sultan

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya hak-hak orang Melayu dan Bumiputera dipertahankan termasuk jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu selaras dengan Perkara 89, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, sebarang bentuk penggantian tanah baru harus “serupa keadaannya” dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.

“Beta mahu usaha menggantikan Tanah Rizab Melayu yang telah dibatalkan akibat projek-projek pembangunan digantikan segera,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-3 Dewan Negeri Selangor yang ke-13 tahun 2015 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri khususnaya di Pantai Timur dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Baginda menegaskan, pengurusan alam sekitar dan ekosistem melalui pemuliharaan hutan simpan kekal dan penanaman pokok mesti diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

“Beta mahu jumlah keluasan hutan simpan kekal di Negeri Selangor tidak kurang 30 peratus dari keluasan tanah Negeri Selangor,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyokong usaha kerajaan negeri untuk memastikan kesempurnaan pembangunan melalui pembangunan teknologi hijau yang mesra alam serta mensasarkan Selangor sebagai negeri rendah karbon bagi menjamin persekitaran yang sihat.

Projek pembangunan Taman Hijau yang akan dibangunkan oleh kerajaan negeri juga boleh dinikmati oleh penduduk Selangor untuk tujuan riadah dan rekreasi bagi menjamin kualiti kehidupan bersama keluarga, titah beliau,

FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.