Followers

Thursday, March 5, 2015

FB klon: Wanita trauma dimaki dan diancam bunuh

Wanita Ini Diancam Bunuh Setelah Tulis Surat Terbuka Di FB




FB klon: Wanita trauma dimaki dan diancam bunuh - Gambar Facebook Siti Hajar

KUALA LUMPUR: Segalanya dikatakan bermula pada 22 September 2013, selepas seorang penasihat usahawan, Siti Hajar Aladin menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebook.

Di dalam surat itu, Siti Hajar meluahkan perasaannya mengenai keperitan kehidupan rakyat di negara ini terutama kepada golongan anak muda selepas pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen pada waktu tersebut.


Surat terbuka kepada Najib yang dikatakan menjadi permulaan segala masalah kepada Siti Hajar - Gambar Facebook Siti Hajar

Ketika meluah masalahnya kepada Astro AWANI, Siti Hajar memberitahu, hidupnya selepas itu mula terganggu selepas menyedari kewujudan akaun Facebook klon yang menulis pelbagai catatan negatif yang menyentuh isu perkauman, negara termasuk hal melibatkan pasukan bola sepak yang boleh menimbulkan pelbagai tanggapan negatif masyarakat kepadanya.

"Macam-macam ancaman sudah saya terima. Akaun palsu itu mula disedari selepas saya menulis surat terbuka berkenaan.

"Pada mulanya akaun itu menghantar beberapa mesej lucah kepada beberapa lelaki dan memburukkan saya, hairannya pemilik akaun klon itu mempunyai semua butiran mengenai saya," katanya.

Pada mulanya kata Siti Hajar, dia membiarkan sahaja situasi itu walaupun beberapa sahabat sudah menasihatinya untuk membuat laporan kepada agensi berkuasa.

"Akaun palsu itu pada mulanya hanya mencatat status biasa-biasa sahaja sehinggalah ada ketika menulis catatan yang melibatkan keharmonian semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

"Mula-mula saya malas melayan tetapi nampaknya status akaun ini semakin kritikal sehingga saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pada April tahun lepas," jelasnya.


Akaun palsu Siti Hajar yang banyak membuat provokasi dan menyebabkan Siti Hajar diancam - Gambar Facebook Siti Hajar


Katanya lagi, dia mula menerima pelbagai ancaman selepas akaun palsu berkenaan mula mencatat status mengenai Sabah dan Sarawak.

"Pada masa itu saya menerima serangan yang sangat teruk, orang ramai tidak dapat membezakan akaun asli atau palsu.

"Saya buat satu lagi laporan polis pada September tahun lepas namun malangnya saya dimaklumkan apa yang terjadi adalah di luar kuasa mereka," ujarnya.

Kehidupan semakin terancam

Siti Hajar memberitahu, dia semakin trauma selepas menerima jawapan menyedihkan daripada polis dan paling menyedihkan apabila Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) sendiri menyatakan kes itu di luar bidang kuasa mereka.

"Semua memberi jawapan di luar bidang kuasa. Aduan kepada SKMM sudah, aduan kepada polis pun sudah.

"Laporan pertama, polis meminta saya ke SKMM, apabila ke SKMM mereka kata ini di luar bidang kuasa, kata mereka Facebook ini di Amerika Syarikat (AS)," jelasnya.

Ujarnya, dia mengambil inisiatif untuk menghantar e-mel kepada Facebook namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.

"Saya takut. Banyak kali saya hubungi polis dan pernah dinasihatkan untuk menutup akaun Facebook sebagai penyelesaian jika tidak tahan diancam.

"Saya pernah tutup akaun Facebook namun akaun palsu itu semakin mengganas dengan pelbagai catatan baharu yang menyakitkan hati pembaca serta boleh menimbulkan gangguan ketenteraman," katanya.


Catatan terbaharu Facebook palsu Siti Hajar yang menimbulkan provokasi kepada ketenteraman kaum di negara ini - Gambar Facebook Siti Hajar


Kata Siti Hajar lagi, kali terakhir dia membuat laporan polis adalah pada Ahad lepas selepas akaun palsu berkenaan mencatat status yang memprovokasi kaum India.

"Saya takut, saya terpaksa buat laporan lagi walaupun tahu mungkin tidak ada sebarang tindakan daripada polis. Saya diancam bunuh dan saya mohon mendapat sedikit perhatian.

"Saya tidak mahu jadi apa-apa kepada saya dan keluarga, saya kini buntu, tidak tahu apa yang perlu di buat dan mengharap segalanya berakhir dengan segera tanpa berlakunya sebarang kejadian yang tidak diminta," jelasnya.

- astroawani


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.