Followers

Tuesday, March 24, 2015

Faekah dakwa Azmin tiada pelan tindakan gangguan bekalan air


Faekah Husin kini mendakwa Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tidak mempunyai pelan tindakan bagi menangani masalah bekalan air di negeri itu. – Gambar ihsan Selangorku, 23 Mac, 2015.

Faekah Husin kini mendakwa Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tidak mempunyai pelan tindakan bagi menangani masalah bekalan air di negeri itu. –

Faekah Husin kini mendakwa Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tidak mempunyai pelan tindakan bagi menangani masalah bekalan air di negeri itu. –

Pegawai khas kepada bekas menteri besar Selangor, Faekah Husin, mempertikaikan pentadbiran Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang tidak menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi masalah bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata, Azmin sehingga kini hanya memberi kenyataan retorik tanpa ada pelan tindakan konkrit menghadapi masalah gangguan bekalan air terawat yang terlalu kerap berlaku sekitar Lembah Klang walaupun tiada masalah bekalan air mentah.

"Apabila penempatan dan bangunan perkhidmatan awam seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang terkesan daripada masalah gangguan air ini, jelas membuktikan menteri besar gagal memantau secara dekat permasalahan ini," katanya.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu, dalam satu kenyataan hari ini, mencadangkan supaya dihidupkan semula jawatankuasa khas yang memantau bekalan air serta memberi laporan dua kali sehari berkenaan masalah yang dihadapi dan kawasan yang terlibat.

Katanya, perkara itu pernah dilakukan sewaktu bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mentadbir kerajaan negeri.

Bekas setiausaha politik Khalid itu mendakwa, sikap berdolak-dalik Azmin meneruskan formula holistik melalui penstrukturan semula industri air Selangor menyumbang kepada gangguan bekalan air bersih.

"Pendekatan memberi 'laluan mudah' yang diambil kerajaan negeri kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) yang diberi lesen sementara walaupun menolak tawaran penstrukturan semula mengganggu kelicinan pengambilalihan 3 syarikat konsesi yang lain," katanya.

Faekah menggesa Azmin bertindak proaktif menyelesaikan masalah gangguan bekalan air bersih kerana “tempoh bulan madu” beliau, yang dilantik menerajui Selangor sejak hujung September lepas, sudah berakhir.

Malah katanya, sesi terjah yang cuba dipopularkan beliau sudah tidak kedengaran lagi, sebaliknya masalah sampah-sarap tidak selesai dan bertambah di merata tempat.

"Mungkin beliau perlu meluaskan sesi terjah ke kolam, loji pembersihan air dan jangan lupa, terjah juga syarikat konsesi yang nampaknya degil dan menyusahkan rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata, Azmin sebelum ini meletakkan keutamaan kepada pelaksanaan prinsip Fiqh Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah untuk kesejahteraan seluruh rakyat apabila menyatakan pendirian mengenai hudud.

"Sehubungan itu, kami ingin menyarankan kerajaan Selangor memastikan perkhidmatan bekalan air bersih yang terbaik kepada rakyat yang pastinya merupakan sebahagian dari prinsip yang disebutkan di atas," katanya.

Selangor bakal menghadapi cabaran bekalan air terawat apabila tiba musim kering sekitar April hingga Oktober setiap tahun.

Ketika ini, beberapa kawasan mula menghadapi masalah gangguan bekalan air, antaranya wilayah Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat, ekoran loji rawatan air Sungai Semenyih yang mengalami pencemaran dan masih belum beroperasi. – 23 Mac, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.