Forest City, projek penambakan terbesar di Johor, telah mengundang 'keributan' selepas ia bermula tanpa penilaian kesan alam sekitar (DEIA) yang terperinci.
Penilaian DEIA projek itu diluluskan kemudiannya pada bulan Januari tahun ini dan pemajunya, Country Garden Pasifik View (CGPV), telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan pematuhan undang-undang alam sekitar.
Syarikat itu juga menerima pakai pendekatan yang lebih telus, mengadakan taklimat media minggu lalu untuk memperincikan usaha berterusannya untuk mematuhi Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sementara itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar (kiri), yang mempunyai pegangan lebih sikit daripada satu perlima dalam CGPV, secara terbuka tampil buat kali pertama dalam satu temu bual dengan The Star, mempertahankan kesan pelaksanaan Forest City terhadap alam sekitar.
"Saya telah membuat pemeriksaan. Tidak ada seekor dugong pun yang akan terjejas; Pastikan fakta anda betul," kata baginda dalam satu wawancara dengan akhbar tersebut.
Bagaimanapun, dokumen yang boleh diperoleh umum, membayangkan sebaliknya, dan kesan alam sekitarnya menjangkau lebih daripada sekadar kesannya terhadap dugong.
Menguburkan Beting Merambong
Walaupun DEIA telah menetapkan pematuhan Forest City, tetapi ia juga memperincikan tahap kerosakan di peringkat awal yang berpunca dari projek itu.
Kerja-kerja penambakan awal di barat daya Johor menguburkan Beting Merambong di tengah-tengahnya, dengan jalan sepanjang 1.5km dan selebar 50 meter merentasi beting itu.
Dikenali sebagai "Tambak CG", ia bermula dari tanah besar Johor ke tengah Selat Johor, berhampiran sempadan Singapura, untuk memudahkan kerja-kerja penambakan.
DEIA menyenaraikan Beting Merambong dan Beting Tanjung Adang sebagai "yang terpenting" di Semenanjung Malaysia.
Menurut laporan itu, rumpai laut mengekalkan kehidupan campuran pelbagai hidupan dan sebahagiannya dianggap sebagai spesies terancam, seperti dugong dan kuda laut.
Manakala ikan, ketam, udang dan invertebrata (binatang tidak bertulang belakang), seperti bintang laut, gamat dan anemone, juga hidup subur di kawasan itu, kata laporan DEIA lagi.
Habitat ragut dugong
Menurut laporan itu, Beting Merambong yang kaya dengan spesies rumpai laut, termasuk Halophila dan Halodule, menjadi "habitat ragut utama" untuk dugong.
Menurut laporan itu lagi, 'kuda laut' dan 'pipefish' turut menjadi spesies ikan ikonik yang tinggal dalam rumput laut dari Beting Merambong.
Keputusan kajian itu, katanya, menunjukkan spesies tersebut menggunakan rumpai laut sebagai habitat utama mereka dan gangguan utama pada masa ini ke atas ekosistemnya, mungkin akan menjejaskan kehidupan hidupan di situ.
Sebelum laporan DEIA itu dibuat, projek Forest City sepatutnya akan menimbus sepenuhnya beting itu tetapi selepas itu, ia telah dipecahkan kepada empat pulau yang akan mengelilingi "habitat ekologi penting" itu.
Bagaimanapun, Tambak CG masih berdiri sehingga kini dan pengarah eksekutif CGPV Md Othman Yusof mengakui keperluan segera untuk membuang kawasan tebus semula di atas Beting Merambong.
"Saya beritahu kontraktor yang saya mahu ia dikeluarkan semalam (jika boleh)," Md Othman memberitahu Malaysiakini, tetapi beliau enggan untuk menentukan jangka masanya.
Keperluan ini juga ditekankan dalam laporan DEIA Forest City itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.