Followers

Tuesday, March 3, 2015

13 Anggota UPP Dan PGA Dicekup SPRM



Segelintir penguat kuasa yang bertugas di sempadan negara ter­nyata tidak pernah gentar dengan tindakan demi tindakan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran.

Buktinya, 13 penguat kuasa terdiri daripada pegawai dan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terbabit dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.

Turut ditahan, seorang bekas pegawai UPP dan seorang awam yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan terbabit.

Kesemua 15 individu terbabit ditahan dalam operasi yang dikenali sebagai Op Licin 2 di Perak dan Kedah, setelah siasatan mendapati sindiket penyeludupan minyak petrol itu dilakukan secara haram melalui pintu masuk di sempadan Malaysia-Thailand.

Difahamkan, penahanan itu adalah yang terbesar selepas operasi membanteras aktiviti mengelak cukai di Zon Perdagangan Bebas Cukai September lalu.

Menurut sumber, dalam penahanan terbaharu ini, kesemua yang terlibat merupakan pegawai penguat kuasa yang pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Ke­selamatan (ICQS).

Katanya, mereka dipercayai menerima suapan sehingga RM4,000 daripada pengusaha stor minyak petrol dan diesel yang tidak berlesen di sekitar Durian Burung, Padang Terap, Kedah.

“Daripada 13 penguat kuasa yang ditahan itu, lima daripadanya anggota UPP manakala selebihnya Pasukan Ge­rakan Am (PGA) dengan masing-masing enam dari Perak dan dua dari Kedah.

“Bekas pegawai UPP berpangkat Asisten Superintenden yang ditahan itu pula berusia 60 tahun,” katanya di sini.

Utusan Malaysia pada Sabtu lalu mendedahkan, penyelewengan diesel dan petrol di sempadan negara masih lagi berterusan khususnya di pintu sempadan negara meskipun usaha oleh kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sering dilakukan.

Laporan itu mendedahkan, tindakan segelintir pegawai penguat kuasa yang tidak membuat pemeriksaan ketat terhadap kenderaan-kenderaan yang disyaki membawa bahan bakar menyebabkan beberapa kawasan di pintu sempadan negara mudah dibolosi.

Mengulas lanjut, sumber memberi­tahu, penguat kuasa yang ditahan itu terdiri daripada pegawai berpangkat Asisten Superintenden (seorang), In­spektor (dua), Koperal (lapan) dan Konstabel (dua).

“Seorang orang awam yang ditahan pula berasal dari Ipoh, Perak. Kesemua 15 inidvidu yang ditahan tersebut berusia antara 20-an hingga 60-an.

“Dalam operasi itu, sebahagian anggota UPP ditahan di Kompleks UPP Bukit Kayu Hitam manakala anggota PGA pula ditahan di sekitar pekan Bukit Kayu Hitam.

“Bekas anggota UPP yang merupakan pesara itu ditahan di rumahnya di Alor Setar,” katanya.

Kesemua yang ditahan disisasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 membabitkan kesalahan me­minta suapan oleh penjawat awam.

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.