Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) bersama pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan pemimpin belia lain di Himpunan Belia Antarabangsa di Ampang, pagi ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) bersama pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan pemimpin belia lain di Himpunan Belia Antarabangsa di Ampang, pagi ini.
Tidak ada calon pengganti bagi jawatan Ketua Pembangkang buat masa ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau akan dibebaskan mahkamah daripada dijatuhkan hukuman dalam kes Liwat II.
"Saya masih ada di sini. Tidak akan jadi apa-apa. Saya optimis berdasarkan fakta, undang-undang dan bukti," katanya pada satu sidang media hari ini, mengulangi keyakinan yang pernah disuarakannya sebelum ini.
Bercakap selepas menyampaikan ucapan pada Himpunan Belia Antarabangsa ke-12 di Ampang, Anwar berkata, tidak ada kemungkinan baginya dijatuhi hukuman bersalah berdasarkan hujah dan bukti yang diberikan kepada Mahkamah Persekutuan.
"(Bagaimanapun), kalau ada perkara di luar jangkaan, itu di luar kawalan saya. Kepada Allah saya berserah," katanya.
Katanya, penyokong dan ahli parti di peringkat akar umbi juga maklum risiko beliau disumbatkan ke penjara, tetapi yakin beliau akan dibebaskan.
"Saya bersyukur Azizah dan keluarga kuat bersama saya menempuhi saat sukar," katanya merujuk kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR.
Mahkamah Persekutuan 26 Januari lalu mengumumkan, keputusan rayuan terakhir Anwar akan dibuat pada 10 Februari.
Keputusan panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria itu dijangka dibuat pada jam 9 pagi.
Arifin yang mengetuai panel 5 hakim mula mendengar kes itu pada 28 Oktober dan berakhir pada 7 November lalu.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar dari dakwaan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Balia Yusof Wahi menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara ke atas Anwar dan membenarkan ikat jamin sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Desa Damansara, Bukit Damansara antara jam 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Beliau dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.
Pihak pendakwa juga memfailkan rayuan balas bagi memohon hukuman yang lebih berat sehingga 20 tahun penjara dikenakan.
Kedudukan Anwar sebagai wakil rakyat bakal terjejas jika dipenjarakan lebih setahun atau denda lebih RM2,000. – 1 Februari, 2015.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.