Followers

Thursday, February 5, 2015

Susulan seruan boikot, masa depan Ismail Sabri di Bera goyah, kata penganalisis OLEH ANISAH SHUKRY

Komen berbaur perkauman yang dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjejaskan sokongan kepadanya di kawasan Parlimennya di Bera, kata penganalisis.

Komen berbaur perkauman yang dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjejaskan sokongan kepadanya di kawasan Parlimennya di Bera, kata penganalisis.

Komen yang dibuat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad, menyeru pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, tidak akan membawa kebaikan kepadanya di kawasan Parlimennya Bera, di mana pengundi Cina membentuk lebih satu perempat daripada penduduk di situ.

Walaupun menteri pertanian dan asas tani itu kini dalam penggal ketiga mewakili rakyat kawasan itu, sokongan terhadapnya didapati semakin berkurangan setiap kali pilihan raya.

Pada 2013, beliau menang tipis dalam satu pertandingan tiga penjuru, dengan hanya 2,143 undi majoriti. Beliau mendapat 21,669 undi, sementara lawannya daripada PKR Zakaria Abdul Hamid memperoleh 19,526 dan seorang calon Bebas, Mohamad Wali Alang mendapat 670 undi.

Menurut laporan, kawasan Parlimen itu mempunyai 50,997 pengundi dengan 16,319 daripadanya kaum Cina. Terdapat 30,088 pengundi Melayu dan selebihnya mereka yang dalam kategori Lain-lain.

Penganalisis politik dan Ahli Parlimen DAP Dr Ong Kian Ming berkata, kebanyakan daripada 32% penduduk Cina di Bera mengundi pembangkang dan masa depan Ismail bergantung kepada usahanya memperbaiki keadaan untuk memenangi kembali hati rakyat jika mahu kekal di situ.

"Seramai 60% pengundi Cina di Bera mengundi pembangkang pada 2013. Kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Bera, iaitu Teriang, merupakan kubu kuat DAP selama enam pilihan raya umum," Ong memberitahu The Malaysian Insider.

"Tetapi, sekiranya Ismail hendak mengekalkan kerusinya dan memenangi sokongan Cina, beliau mesti memohon maaf kerana membuat kenyataan tersebut," katanya.

Teguran Ong itu dibuat selepas menteri itu menulis kenyataan kontroversi di Facebooknya, menggesa pengguna Melayu melakukan boikot itu dalam usaha menentang peniaga yang enggan menurunkan harga barang dan membuat keuntungan ketika kerajaan sudah menurunkan harga runcit minyak.

"Maaf saya beri pandangan, selain daripada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan) yang patut gunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan untuk ambil tindakan kepada peniaga yang naikkan harga barang tanpa sebab munasabah, kuasa terbesar ada pada pengguna.

"Majoriti pengguna adalah Melayu, Cina adalah minoriti, kalau Melayu boikot perniagaan mereka, tentu mereka tiada pilihan untuk turunkan harga barang," tulisnya di akaun Facebooknya pada Ahad.

Ismail juga menyebut tentang restoran kopitiam OldTown White Coffee, dimiliki OldTown Bhd, mengatakan ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham memiliki saham di dalamnya.

"Lihat sahaja OldTown White Coffee, diragui baru-baru ini. Tapi masih orang Melayu gagal untuk boikot. Lebih-lebih lagi pemiliknya dikatakan keluarga Ngeh, DAP Perak yang terkenal anti-Islam.

"Selagi Melayu tidak berubah, selagi itu Cina ambil kesempatan untuk tindas Melayu," katanya.

Bagaimanapun, Ismail berdiri teguh dengan kenyataannya dan enggan meminta maaf apabila diberi amaran oleh Ngeh.

"Saya tak akan tarik balik kenyataan dan tidak akan meminta maaf," katanya semalam pada satu himpunan yang diadakan penyokongnya di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Isnin dan pada himpunan satu lagi diadakan ketua Umno bahagian di Putrajaya semalam.

Penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan, pengarah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, mana-mana rakyat Malaysia akan tidak senang dengan kenyataan Ismail itu, walau daripada kumpulan etnik mana sekalipun.

"Saya rasa, reaksi sesiapa saja yang berfikiran waras, baik Melayu mahupun Cina, dan yang percaya kepada perpaduan rakyat Malaysia, akan rasa meluat.

"Dan saya fikir, atau paling kurang harap, pengundi Cina akan ingat ini apabila melontarkan undi kelak."

Penduduk Cina di Bera ramai yang tinggal di Teriang, di mana mereka membentuk 69% pengundi pada 2013 berbanding 26% Melayu dan 4% India.

BN secara tradisinya meletakkan calon Gerakan untuk kerusi itu sementara dua kerusi DUN lain, Guai dan Kemayan - kedua-duanya kawasan majoriti Melayu - ditandingi wakil Umno.

Pemangku Pengerusi Gerakan Pahang Tee Yew mengakui, perasaan komuniti Cina terluka dengan kenyataan Ismail, dan menambah, masa depan BN di negeri itu kini bergantung kepada bagaimana partinya akan menerangkan isu itu kepada penduduk tempatan.

"Sama ada komen Ismail akan menjejaskan pengundi atau tidak, bergantung kepada bagaimana kita merasionalkan isu ini di peringkat bawahan. Mereka ini rajin bekerja, dan boleh jadi emosional dengan perkara seperti ini.

“Gerakan sudah tentu tidak setuju dengan beliau. Jadi, apa yang kami perlu sampaikan kepada rakyat sekarang ialah, kita perlu tinggalkan isu ini dan beri lebih tumpuan kepada perkara lebih penting, seperti keperluan harian kita," katanya, sambil menambah, banyak masa terbuang menangani isu provokasi antara kaum ini.

Katanya, beliau berharap Gerakan dapat terus menukar paradigma rakyat Malaysia supaya tidak terlalu menumpukan kepada kaum masing-masing, sebaliknya lebih berminat bergerak sebagai satu bangsa demi mencapai Wawasan 2020.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sama ada Ismail patut memohon maaf atau tidak, mengatakan ia terpulang kepadanya. – 5 Februari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.