Followers

Friday, February 6, 2015

Siapa sebenarnya perdana menteri? KOMENTAR OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA

 

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercanggah berhubung kenyataan Facebook seorang menteri Kabinet yang berbaur perkauman, timbul persoalan siapa sebenarnya perdana menteri di negara ini.

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercanggah berhubung kenyataan Facebook seorang menteri Kabinet yang berbaur perkauman, timbul persoalan siapa sebenarnya perdana menteri di negara ini.

Kenyataan Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berhubung tindakan perkauman seorang menteri Kabinet menimbulkan persoalan tentang siapakah yang sebenarnya memimpin Malaysia pada hari ini.

Perdana menteri yang sebelum ini memperkenalkan konsep 1Malaysia mempertahankan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob walaupun menggugat keharmonian Malaysia dengan menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap kaum Cina.

Sementara Dr Mahathir yang sudah lebih 10 tahun meninggalkan pentadbiran negara menegur menteri pertanian dan asas tani itu agar mencari punca sebenar dan tidak menyalahkan kaum tertentu berhubung kenaikan harga barang.

"Itu cara yang negatif menyelesaikan masalah. Cari puncanya,” kata Dr Mahathir merujuk kepada gesaan Ismail agar kaum Melayu memboikot perniagaan kaum Cina.

“Mungkin dia tidak fikir apa dia cakap, kalau dia fikir baik-baik, dia tidak akan kata boikot barang jualan orang Cina.”

Tindakan Najib mempertahankan ahli politik dari Pahang itu mungkin disebabkan 92 ketua Umno bahagian yang berhimpun di Putrajaya semalam menyatakan sokongan secara terbuka kepada Ismail berhubung kenyataan perkaumannya itu.

Jurucakap kepada kumpulan itu, Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata mereka menyokong penuh kenyataan Ismail dan akan berdiri di belakangnya sekiranya dikenakan tindakan.

Apakah Najib takut kepada 92 ketua Umno bahagian ini?

Ini menimbulkan persoalan tentang kedudukan Najib sekarang, apakah beliau seorang perdana menteri Umno atau perdana menteri Malaysia?

Ironinya, Dr Mahathir yang sebelum ini dikatakan bersimpati kepada kumpulan berhaluan kanan Melayu membuat kenyataan sebagai seorang negarawan demi mempertahankan asas pembentukan Malaysia.

Malaysia ditubuhkan Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj pada 1963 sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Selepas rusuhan kaum 13 Mei, 1969 melibatkan kaum Melayu dan Cina, perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan ayah kepada Najib berusaha mengembalikan Malaysia ke landasan sebenar.

Walaupun singkat tempoh pemerintahan, Razak berusaha sehingga akhir hayatnya untuk mengembalikan perpaduan nasional berbanding Najib yang sanggup memusnahkannya hanya kerana mahu terus kekal memimpin Umno.

Hari ini, menteri Kabinet lain juga tidak ada yang berani melakukan perkara betul dengan menegur Ismail yang mungkin dirasuk emosinya ketika menulis di Facebook.

Termasuklah “jaguh-jaguh progresif” di Facebook dan Twitter sebelum dilantik menyertai Kabinet.

Mungkin inilah kualiti kepimpinan yang ada di Malaysia pada hari ini sehinggakan tindakan Dr Mahathir menegur Ismail semalam mengembalikan harapan kepada negara.

Walaupun Dr Mahathir sudah tidak lagi memimpin negara, sekurang-kurangnya pengaruhnya yang besar dalam Umno dan di kalangan orang Melayu diharapkan dapat mengawal emosi kaum majoriti itu daripada melakukan perkara tidak waras terhadap kaum Cina.

Inilah realiti Malaysia pada hari ini, rakyat terpaksa mengharapkan kepimpinan daripada seorang yang sudah lebih 10 tahun meninggalkan Kabinet berbanding perdana menteri sedia ada. – 5 Februari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.