Followers

Wednesday, February 4, 2015

Semuanya ada peluang untuk membuktikan kebaikan, tetapi tidak diambil kesempatan itu


Semua pihak tidak mahu mengambil kesempatan keemasan yang ada pada pihak masing-masing untuk membuktikan ketelusan masing-masing dan usaha untuk mempertahankan apa yang ada kepada mereka.

UMNO masih belum bertindak untuk mengambil kesempatan keemasan untuk parti itu diyakini ramai dengan pengunduran barisan kabinet pada hari ini dan bersara. Mereka tahu ini merupakan kesempatan untuk mereka untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan mereka dalam kerajaan. 
 
Mereka (ahli-ahli jemaah kabinet) rela kerajaan sekarang menghadapi risiko kekalahan dan kehilangan sokongan dari rakyat kerana perlakuan dan kelemahan mereka.

MIC sedang bergolak dan tidak mahu mengakui yang parti itu dipimpin oleh yang lemah dan mereka tidak mahu mengubah sikap mereka menghadapi cabaran masa depan dan hari muka.

DAP tidak mahu mengambil kesempatan untuk membuktikan yang mereka adalah jujur dan tidak berbohong dengan rakan kongsi mereka dalam Pakatan Rakyat, PAS dalam isu pilihanraya kerajaan tempatan. Setiausaha Agung PAS, Mustapha Ali telah mencabar Lim Guan Eng untuk berdebat secara terbuka tetapi LGE memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu respons kepada cabaran Mustapha itu.

Dalam politik elemen persepsi ramai adalah elemen yang terpenting dan jika LGE tidak mahu memberikan reaksi terhadap cabaran Setiausaha Agung PAS itu, maka ia boleh dipersepsikan sebagai membenarkan apa yang diperkatakan oleh Mustapha dalam isu ini terhadap LGE dan DAP. 
 
 
 
 
Pihak DAP bolehlah memberikan alasan secara loyar buruk kenapa tidak ada respons dari pihak DAP, tetapi hakikatnya DAP tidak akan berdiam diri jika ada alasan untuk menunjukan yang mereka itu benar. Dalam isu ini LGE berdiam diri dan mengelak dari memberikan komen, jauh sekali untuk berdebat seperti yang diminta oleh pihak Mustapha Ali itu.

Malahan beberapa hari yang lepas LGE mengarahkan perasaan tidak puas hati beliau terhadap Menteri Besar Selangor, Azmin Ali kerana tidak hadir bersama beliau dalam majlis makan malam di Serdang.

LGE marah-marah dengan Azmin  Ali kerana tidak memberikan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan lambat bertindak untuk memberikan kedudukan dan tempat untuk pemimpin DAP duduk dalam Majlis Daerah-Daerah dalam negeri Selangor. 
 
Beliau merupakan orang yang pertama memberikan ucapan tahniah kepada Azmin semasa Azmin diangkat menjadi Menteri Besr Selangor, katanya. Beliau memberikan amaran yang Azmin akan ditimpa nasib yang sama seperti Khalid Ibrahim jika beliau (Azmin) tidak melakukan apa yang DAP kehendaki.

Rupa-rupanya ucapan tahniah LGE itu menjadikan Azmin terhutang budi untuk memenuhi segala tuntutan beliau dalam hal pentadbiran negeri Selangor itu sedangkan rakyat tahu LGE sentiasa bersama Wan Azizah dalam perebutan kerusi MB itu semasa isu Khalid Ibrahim di Selangor dahulu. 
 
Ramai yang tahu yang menyokong Azmin untuk menduduki kerusi itu adalah dari kelompok lain dan bukannya dari kelompok DAP khususnya LGE. Tetapi oleh kerana beliau pantas menghantar ucapan tahniah itu maka beliau mengharapkan Azmin memenuhi tuntutan beliau dalam semua hal yang berkaitan dengan pentadbiran negeri Selangor.

Sekarang ini kita perlu memahami yang menerima ucapan tahniah dari LGE itu amat tinggi harganya kerana ucapan tahniah beliau itu mesti diberikan ‘reciprocal’ yang besar dan turut sahaja kehendak dan tuntutan beliau.
 
Alasan ini tentulah satu alasan yang bersifat kebudak-budakan sedangkan beliau adalah pemimpin yang terutama dalam parti DAP itu. Beliau jugalah yang mahu diakui ramai sebagai jaguh perpaduan dan ketelusan dalam semua bidang.

Pada hemat saya LGE mempunyai mulut yang lebih cepat dari pemikirannya. Di antara mulut dan pemikirannya tidak seimbang dan ini akan memberikan masalah kepada parti pimpinannya.

Kadang-kadang seseorang itu akan mudah lupa semata-mata kerana sudah merasakan kuasa sedikit sebanyak. Saya pernah berkata yang UMNO memakan masa empat puluh tahun untuk sesat, tetapi parti ini mungkin menjadi sesat serta-merta selepas mendapat kuasa jika diizinkan menguasai kuasa kerajaan negara ini.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.