Barisan Nasional (BN) menafikan berniat mengambil alih parti
komponen MIC apabila mencadangkan penubuhan seketariat bagi membantu
menyelesaikan kemelut dalaman parti itu, kata Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor menurut portal MStar hari ini.
Mengulas kenyataan presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel
yang tidak bersetuju dengan saranan itu, setiausaha agung BN itu
berkata, pimpinan parti itu tidak berminat untuk campur tangan atau
mengambil alih MIC.
"Jangan salah anggap, BN tidak ada niat untuk ambil alih MIC.
Kalau dia (Palanivel) tak nak ikut cadangan kita, terpulang kepada
mereka," beliau dipetik berkata portal berita tersebut.
Menteri Wilayah Persekutuan yang juga dikenali sebagai Ku Nan itu
berkata, terpulang kepada MIC untuk memilih sama ada menerima atau
menolak tawaran BN itu kerana ia hanya berbentuk cadangan bagi membantu menyelesaikan masalah dalaman mereka.
"Kita (BN) hanya memberi cadangan namun terpulang kepada MIC sama ada
untuk mengguna pakai cadangan tersebut," katanya menjawab komen Palanivel semalam mengatakan cadangan itu amat membimbangkan.
Ku Nan berkata di Putrajaya terdahulu semalam yang penubuhan sekretariat
khas ditadbir urus oleh BN dicadangkan membantu MIC menjalankan
pembersihan dalam bahagian dan cawangan serta mengadakan pemilihan
semula parti.
"Ini tidak boleh diterima sama sekali. BN tidak mempunyai bidang
kuasa walau apapun untuk mengambil alih pentadbiran atau menjalankan
pemilihan parti kerana bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan
MIC dan Akta Pertubuhan, 1966," kata Palanivel.
"Walaupun MIC ialah parti komponen BN, MIC masih sebuah parti
politik mengikut haknya sendiri dan tertakluk di bawah Perlembagaan
parti. BN perlu menghormati perlembagaan MIC dan tidak menceroboh urusan
pentadbiran MIC," katanya.
Pada masa sama, Ku Nan
juga meminta MIC menerima arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS),
mengingatkan yang semua parti komponen harus akur terhadap
undang-undang.
Ini merujuk kepada surat yang diserahkan RoS kepada MIC meminta parti
itu mengadakan semula pemilihan semua jawatan termasuk mempersoalkan
status jawatan presiden.
"Kita tidak ada niat hendak campur tangan. Apa yang kita harapkan mereka akur kepada arahan yang dikeluarkan RoS," katanya.
Addin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.