Followers

Wednesday, February 25, 2015

Politik diketepikan dalam pengampunan Anwar, kata penganalisis OLEH ANISAH SHUKRY


Penganalisis berpendapat tanggapan rakyat akan berpecah tentang permohonan pengampunan Diraja yang difailkan oleh keluarganya.

Penganalisis berpendapat tanggapan rakyat akan berpecah tentang permohonan pengampunan Diraja yang difailkan oleh keluarganya

Keputusan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pengampunan Diraja bagi kesalahannya menunjukkan mereka bertindak mengikut kebimbangan terhadapnya berbanding kesan politik, dan ini mungkin membawa kesan kepada ketua pembangkang itu, kata penganalisis hari ini.

Mereka berkata, permohonan pengampunan Diraja pada saat akhir itu boleh dilihat sebagai pengakuan bersalah kepada sesetengah rakyat, dan Barisan Nasional (BN) tentunya akan menggunakan perkara itu sebagai senjata untuk menyerang kredibilitinya.

"Saya berasa mereka bertindak sebagai ahli keluarga yang bimbang akan keadaannya. Kesannya tentulah besar terhadap kedudukan politik Anwar, kerana pengampunan Diraja selalunya dikaitkan dengan mereka yang mengaku bersalah, sebab itulah mereka meminta pengampunan daripada Agong," kata Ibrahim Suffian daripada Merdeka Center.

"Ini bertentangan dengan bagaimana mereka sering mengatakan yang daripada mulanya ia memang satu kes mahkamah politik, yang Anwar merupakan seorang banduan politik dan semua ini merupakan penganiayaan politik.

"Ini akan mengelirukan lagi kedudukan politik Anwar dan menambah satu lagi lapisan atas beban yang beliau sedang pikul, memandangkan beliau bertahun-tahun menafikan beliau meliwat."

Ibrahim berkata Anwar dan partinya PKR akan mendapati susah untuk memenangi hati rakyat selepas langkah sebegini, terutamanya kerana media tidak cenderung kepada pihak mereka dan lawan mereka juga bekerja keras untuk mencemarkan namanya dengan jelajah negara yang diketuai peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Namun Ibrahim berkata, Anwar masih boleh menyelamatkan reputasinya dengan menggelar langkah tersebut satu langkah "humanitarian" oleh keluarganya.

"Mereka perlu menampakkannya seperti keputusan untuk memohon pengampunan Diraja tidak datang daripada Anwar sendiri, tetapi daripada keluarganya yang mahukan beliau bersama mereka yang tersayang.

Dr Lim Teck Ghee bagaimanapun berkata, tindakan keluarga Anwar boleh difahami secara positif bagi sesetengah yang mungkin berkelakuan sedemikian sekiranya ia melibatkan ahli keluarga mereka sendiri.

Pengarah Center for Policy Initiatives (CPI) itu berkata, jelas keluarga Anwar bertindak akibat bimbang beliau tidak akan bertahan hukuman penjara 5 tahun.

"Oleh itu mereka mengetepikan apa-apa motif politik dan merendah diri dengan meminta pengampunan Diraja. Saya pasti ramai keluarga akan berkelakuan sedemikian dalam situasi yang sama, dan ramai, ataupun kebanyakan rakyat Malaysian akan menyokong permintaan tersebut," kata Lim.

Walaupun bersetuju sesetengah rakyat Malaysia akan melihatnya sebagai pengakuan bersalah, yang lain akan kekal yakin beliau tidak bersalah dan berpegang kepada kepercayaan beliau terlibat dalam kes mahkamah politik, kata Lim.

"Tanggapan rakyat akan berpecah tentang hal ini. BN tentu akan menggunakan perkara ini, tetapi soal adakah ia akan memenangi undi untuk mereka persoalan berbeza. Ini kerana rakyat Malaysia cenderung untuk mengundi berdasarkan faktor lain juga."

Beliau berkata, kesan pengampunan politik terhadap PKR dan politik pembangkang masih perlu dilihat, tetapi menambah pengampunan politik bagi Anwar mungkin akan dibenarkan dengan syarat beliau bersara sepenuhnya dari arena politik.

Seorang jurucakap PKR mengesahkan keluarga Anwar memfailkan permohonan untuk pengampunan Diraja ke Istana Negara hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu The Malaysian Insider inisiatif untuk memfailkan permohonan tersebut bagi Anwar yang berisiko kehilangan kerusi Permatang Pauh, dilakukan oleh keluarganya dan bukan oleh parti.

Tarikh akhir 14-hari bagi Anwar memfailkan permohonan itu tamat hari ini dan tanpanya, beliau automatik tersingkir sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anak sulungnya Nurul Izzah Anwar yang juga naib presiden PKR berkata, petisyen bagi pengampunan Diraja itu dibuat berdasarkan sabitan kesalahan yang gagal menepati prinsip keadilan.

‎"Petisyen memohon ampun atas alasan pengetepian prinsip-prinsip keadilan dan pembelaan daripada penganiayaan fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah selamat dihantar ke Istana," katanya.

Peguam Anwar N Surendran berkata awal hari ini, ketua pembangkang itu tidak bercadang untuk memohon pengampunan Diraja.

"Kami bertemu dengan Anwar di penjara minggu lepas dan beliau tidak memberi apa-apa arahan untuk memfailkan permohonan itu. Peguamnya juga tidak akan memfailkan permohonan sebegitu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pada 10 Februari, panel 5 hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Tun Ariffin Zakaria mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau melakukan kesalahan tersebut di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10pm - 4.30pm pada 26 Jun, 2008.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerusi tidak akan diumumkan sebagai kosong sehinggalah Lembaga Pengampunan sudah membuat pertimbangan dan keputusan.

Surendran juga berkata yang pasukan peguam Anwar akan terus meneliti kehakiman 116-mukasurat sebelum membuat keputusan untuk memfailkan semakan semula terhadap penghakiman tersebut.

"Tiada jadual masa untuk memfailkan semakan semula itu, tetapi ia perlu dilakukan secepat mungkin," katanya. – 24 Februari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.