KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM)
terkilan dengan bidasan Presiden dan Ketua Pemuda MCA yang sepakat
dengan Ketua Pemuda DAP agar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
Datuk Seri Ismail Sabri disingkir dari jawatannya selepas mengeluarkan
kenyataan mengenai peniaga Cina.
Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, pendirian dan keceluparan Liow Tiong Lai dan Chong Sin Woon mempamerkan pendirian sebenar MCA, yang lebih mementingkan DAP.
"Mereka melindungi mereka yang cauvinis, dari membantu kerajaan
menangani masaalah yang dihadapi rakyat, maka, saranan yang dicetuskan
Ismail mendedahkan pendirian sebenar MCA.
"MPM tidak terkejut dengan bidasan Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Siong, sebab kita semua tahu DAP memang cauvinis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Hasan mengulas catatan di laman Facebook Ismail yang menyarankan
pengguna, terutamanya Melayu, memboikot peniaga-peniaga Cina yang degil
dan enggan menurunkan harga barangan pengguna.
Ismail bagaimanapun tidak menyarankan memboikot secara menyeluruh namun
hanya peniaga-peniaga Cina degil yang enggan menurunkan harga barangan
pengguna.
Dalam pada itu kata Dr. Hasan, walaupun kenyataan yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong
yang lebih berhemah berbanding Tiong Lai dan Sin Woon, Andy dilihat
terbelit dengan fakta yang mengaitkan insiden ini dengan kenyataan yang
bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai sumbangan
komuniti bisnes Cina.
"Jika Andy merujuk kepada kenyataan itu, dia juga sepatutnya menyarankan
peniaga-peniaga Cina yang dimaksudkan Ismail agar lebih
bertanggungjawab dan patriotik dalam berniaga, bukan sebaliknya.
"Orang Melayu akui sumbangan komuniti bisnes Cina kepada pembangunan
negara, tetapi tidak bermakna mereka boleh menindas pengguna
sewenang-wenangnya," jelasnya.
Sementara itu ujarnya, MPM menghargai kenyataan Ketua Wanita MIC, M.
Mohana dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang
menyokong kenyataan Ismail.
"Bagi mereka yang membidas saranan Ismail terutama Presiden MCA dan
Ketua Pemudanya, binalah budaya berpolitik berhemah dan budaya politik
setiakawan, jangan jadi duri dalam daging.
"Orang Cina sudah lama menyampah kepada MCA, itu sebabnya MCA kian tak popular.
"Orang Melayu yang memberi muka kepada MCA. Jangan sakitkan hati orang
Melayu dan jangan sampai nanti orang Melayu pula yang menyampah kepada
MCA," katanya.
Addin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.