Followers

Friday, February 27, 2015

Penyebar spekulasi MH370 jahil, kata Jailani

Penyebar spekulasi liar mengenai pesawat MH370 adalah orang yang jahil, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Penyebar spekulasi liar mengenai pesawat MH370 adalah orang yang jahil, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Penyebar spekulasi liar dan berita palsu berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas adalah jahil dan kurang pengetahuan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Selaku pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Komunikasi dan Media Insiden MH370, beliau menegaskan kerajaan tidak menyembunyikan mana-mana fakta dalam usaha pencarian pesawat itu.

Berhubung dakwaan kononnya Rusia terlibat dan pesawat itu dibawa ke Antartika, Jailani berkata dakwaan itu dibuat pihak tertentu yang mahu popular dengan berita sensasi.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang berterusan membuat spekulasi atau menyebar maklumat salah mengenai insiden berkenaan supaya berhenti berbuat demikian.



"Hentikan spekulasi dan perlu percaya kepada kerajaan yang mempunyai tanggungjawab lagi besar dalam misi pencarian pesawat ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Liga Remaja Kreatif 2015 di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya, hari ini.

Pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 12.41 tengah malam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 Mac tahun lepas mengumumkan pesawat MH370 berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Pada 29 Januari tahun ini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengumumkan kehilangan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapal dianggap terkorban.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 24 Februari dilaporkan berkata pencarian akan diteruskan dan data yang dibekalkan Inmarsat dan Pusat Kawalan Trafik Udara menunjukkan MH370 menuju ke arah selatan Lautan Hindi.

Jailani berkata kemudahan Internet yang disediakan harus dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat yang sahih.

"Apabila sesuatu maklumat itu disebarkan, jangan terus percaya. Kita perlu periksa semula sebelum berita berkenaan menjadi viral," katanya.

Sementara itu, Jailani berkata SKMM sedang menjalankan kajian komprehensif berhubung beberapa aspek penambahbaikan terhadap pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terutamanya berhubung kesalahan siber yang sering berlaku ketika ini. – Bernama, 27 Februari, 2015.


See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.