Followers

Monday, February 23, 2015

PasMa tidak tergugat serangan Ulama PAS, kata Phahrolrazi OLEH DIYANA IBRAHIM

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) teruskan aktiviti seperti biasa walaupun diserang, kata presidennya Datuk Pharolrazi Zawawi.

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) teruskan aktiviti seperti biasa walaupun diserang, kata presidennya Datuk Pharolrazi Zawawi.

Kumpulan pro Pakatan Rakyat (PR) dalam PAS, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mempersoalkan resolusi Dewan Ulama parti itu yang menggesa tindakan ke atas ahli mereka.

Presiden PasMa Datuk Pharolrazi Zawawi berkata, kumpulan itu akan tetap meneruskan aktivitinya seperti biasa walaupun terus menerus diserang.

"Kita tidak tergugat dengan perkara demikian, setakat ini kita aktiviti dan program masih lagi berjalan seperti biasa," kata Phahrolrazi kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur semalam.

Phahrolrazi berkata usul yang dibuat pada Multaqa Ulama pada Sabtu hanya keputusan salah satu sayap parti itu dan bukan keputusan di peringkat Jawatankuasa PAS Pusat yang mempunyai kuasa eksekutif bagi menetapkan sebarang pendirian.

"Apa saja ketetapan yang dibuat ketika Multaqa adalah tidak sah kerana ia hanya melalui sayap parti, usul itu hanya dianggap sah sekiranya ia diterima Jawatankuasa PAS Pusat.

"Buat masa ini, ia cuma dilihat sebagai ketetapan saja," katanya.

Mengulas mengenai serangan pimpinan ulama terhadap PasMa hujung minggu lalu Phahrolrazi berkata, PasMa tidak akan menyerang kembali sayap tersebut.

"Lagi pun, golongan ulama adalah institusi terhormat dalam PAS. Ulama ini pewaris nabi, kalau kita bertindak dengan perkara sama, maka ia seperti tidak ada kesudahan.

“Lagipun kita tidak mahu nanti PasMa dicop tidak hormat golongan ulama,” katanya.

Phahrolrazi sekali lagi menegaskan PasMa lahir dalam kerangka PAS.

"Bukan saya saja tapi ahli yang lain juga, mereka adalah ahli PAS."

Multaqa Ulama pada Sabtu menetapkan 16 resolusi, antaranya mengenakan tindakan ke atas mana- mana ahli PAS dan pemimpin menyertai PasMa.

Mereka juga menganggap sebarang pelanggaran terhadap arahan Majlis Syura Ulama dan keputusan presiden sebagai merupakan kesalahan mandatori, dan menyeru kerjasama parti Islam itu dengan PR dikaji semula.

Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Ahmad Yakob dalam ucaptamanya berkata PasMa secara terang-terangan bergiat aktif walaupun Majlis Syura mengarahkan ahli parti tidak terlibat dengan kumpulan itu.

"Ini jelas satu usaha merosakkan PAS dan menghancurkan dari dalam serta memecahbelahkan PAS," kata Ahmad yang juga menteri besar Kelantan.

Katanya, keputusan Majlis Syura dan presiden agar ahli PAS menjauhi PasMa dan tidak terlibat dengan segala aktiviti mereka mempunyai banyak asas.

"Antaranya ialah, wujud aliran pemikiran songsang dalam individu yang terlibat dengan PasMa, yang bersetuju dengan ajaran liberalisme atau Islam liberal," tambahnya.

Mengenai tuduhan tersebut, Phahrolrazi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor di Kedah, berkata beliau tidak faham mengapa PasMa dituduh menyokong fahaman liberal.

"Kita tidak faham dengan tuduhan itu, kerana PasMa merupakan sebuah pertubuhan berdaftar dan matlamat kita ialah membantu Pakatan Rakyat dalam konsep demokrasi, kita mahu membantu parti menjadi sebuah parti kukuh dan kita PasMa sendiri bukan dan tidak akan jadi parti politik," katanya.

PasMa dituduh menjadi duri dalam daging oleh sesetengah pimpinan PAS kerana hubungan baik dengan DAP dan PKR.

PasMa antara lain berkata ia mahu merapatkan kerjasama antara PAS dengan PR, yang merosot sejak kemelut menteri besar Selangor tahun lepas. – 23 Februari, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.