Followers

Tuesday, February 3, 2015

Pakatan perlu bincang kemungkinan Anwar ke penjara, kata Mahfuz OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mengatakan perbincangan tentang siapa yang akan mengisi jawatan ketua pembangkang sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan amat penting.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mengatakan perbincangan tentang siapa yang akan mengisi jawatan ketua pembangkang sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan amat penting.

Pakatan Rakyat (PR) perlu sepakat bawa ke meja perundingan untuk bincangkan kemungkinan Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari ini, kata Datuk Mahfuz Omar.

Ketua penerangan PAS itu berkata, walaupun parti Islam itu masih belum mengambil sebarang pendirian mengenai perkara itu, PR perlu setuju kembali ke meja rundingan bagi membuat keputusan penting demi kelangsungan gabungan parti pembangkang itu.

Ini termasuk, katanya, membincangkan siapa yang akan menjadi ketua pembangkang seterusnya jika Anwar dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah dalam memutuskan rayuan pusingan terakhir kes liwatnya itu.

"Kita kena balik kepada meja rundingan di bawah PR. PAS pula harus akur dengan sebarang keputusan itu.

"Lagipun kita tidak ada jumlah yang cukup untuk melayakkan ahli Parlimen kita dilantik sebagai ketua pembangkang," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.



Kenyataannya itu senada dengan Anwar semalam yang merayu kepada rakan parti dalam PR – khususnya DAP dan PAS – berhenti berbalah dan mengadakan mesyuarat antara pemimpin parti sebelum 10 Februari, tarikh Mahkamah Persekutuan dijadualkan menyampaikan penghakiman terhadap rayuan bagi sabitan kes liwatnya.

Anwar berkata demikian susulan perbalahan yang berterusan antara PAS dan DAP berkaitan beberapa perkara, terutama dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan dan hudud.

Pada masa sama, majlis kepimpinan PR dilaporkan tidak mengadakan mesyuarat selama lebih 6 bulan.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut mengenai perlunya membincangkan isu ketua pembangkang yang baru sebaliknya meminta kedua-dua parti "bawa berbincang semua pertelingkahan antara mereka."

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga dilaporkan berkata beliau yakin Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan yang memihak kepadanya.

Mahfuz hari ini mengingatkan ahli parti, keputusan memberikan jawatan tersebut kepada Ketua Umum PKR itu sebelum ini juga dibuat berdasarkan semangat kesepakatan di kalangan PR, maka amalan itu harus diteruskan.




"Dulu kita beri kepada Anwar juga, walaupun DAP mempunyai kerusi yang lebih dari PKR, itulah satu kesepakatan. Dan PAS akan sedia terima siapa saja jadi ketua pembangkang," kata ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengenai kes liwat Anwar, Mahfuz berkata beliau setuju peguam bela Anwar mempunyai hujah yang kuat dan beliau akan dibebaskan, mengatakan sejak awal lagi beliau berpendapat kes itu tidak perlu dibicarakan di mahkamah.

"Pendakwaan ini tidak wajar. Cukup jelas ia suatu yang tidak ada merit untuk didakwa. Laporan perubatan jelas membuktikannya," katanya.

Menurut beliau yang juga ketua whip PAS di Parlimen, pendirian PAS sedari awal ialah, jika mahkamah memutuskan memenjarakan Anwar, ia akan menambahkan lagi krisis ketidakpercayaan kepada insitusi kehakiman.

Sementara itu, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, isu pelantikan pengganti bagi jawatan Ketua Pembangkang tidak pernah dibincangkan lagi secara rasmi antara rakan PR dan PAS.

Katanya, ia tidak berbangkit kerana PAS yakin Anwar akan terus kekal dengan jawatan tersebut dan akan dibebaskan semasa keputusan rayuan pusingan terakhir kes liwatnya itu.

“Saya mendoakan beliau (Anwar) akan dibebaskan. Sebagai rakan dalam PR, kita tidak pernah bincang untuk menggantikan pimpinan yang lain, kerana yakin beliau akan dibebaskan.

“Kita yakin dengan segala hujah yang dibentangkan peguam bela beliau dalam mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuan Ibrahim turut meminta ahli PAS mengadakan solat hajat agar keadilan memihak kepada Anwar.

“Kehadiran ramai pimpinan parti sepanjang perbicaraan membuktikan sokongan PAS kepada beliau. InsyaAllah semoga beliau dibebaskan,” katanya menurut akhbar itu semalam. – 2 Februari, 2015.


http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.