Followers

Thursday, February 26, 2015

Nyaris Terkena Tembakan

 

Sepasang suami isteri nyaris terkena tembakan setelah diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol di sebuah rumah di Kampung Alor Bemban, Tanah Merah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi tadi, pasangan berusia 25 dan 38 tahun itu sedang berehat di rumah mereka sebelum didatangi empat lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Camry.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata siasatan awal mendapati suspek berkenaan dipercayai sedang mencari seorang lelaki yang dikenali dengan nama gelaran 'Julie'.

"Keempat-empat lelaki itu turun dari kereta dan terus meluru ke dalam rumah pasangan terbabit untuk mencari Julie setelah melihat motosikal milik Julie berada di kawasan itu.

"Pasangan berkenaan memberitahu tidak mengenali Julie dan suspek mengesyaki pasangan itu menyembunyikan Julie, lalu salah seorang suspek melepaskan tembakan ke arah pasangan tersebut namun tersasar," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu.

Mazlan berkata suspek turut bertindak membakar dua buah motosikal milik mangsa dan milik lelaki bernama Julie itu sebelum melarikan diri.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu turut ditahan kerana mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.