CHERAS: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menolak kemungkinan ada daripada kalangan adiknya akan bertanding pada pilihan raya.
Beliau mengulas khabar angin yang mengatakan adiknya Nurul Nuha Anwar akan bertanding kerusi parlimen Permatang Pauh yang telah kosong berikutan pemenjaraan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Media bertanya, ‘adik mana yang akan bertanding kali ini? Saya tanya, jika anda berada di tempat kami, anda tidak akan bertanding di pilihan raya yang diadakan di Malaysia.
“Padang tak sama rata, media tidak bebas. Mungkin mediaonlineberikan liputan, tetapi bagaimana dengan media arus perdana?” katanya di hadapan kira-kira 250 pengunjung ceramah ‘Solidariti Bersama Anwar’ pada Ahad.
Dalam pada itu, katanya kesemua parti dalam Pakatan Rakyat harus bersatu jika mahu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
“Kita harus bersama…. Keadilan, DAP, PAS. Kita bodoh jika tidak faham bahawa satu-satunya cara untuk kita berjaya pada pilihan raya umum akan datang hanyalah jika kita kekal kuat dan bersatu sebagai sebuah pakatan,” tegas ahli parlimen Lembah Pantai itu pada ucapan tersebut.
Selain itu, Nurul Izzah turut memaklumkan bahawa pihak peguamnya akan menghantar laporan perubatan Anwar hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyebut di mana dan kepada siapa laporan berkenaan akan diserahkan.
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang memaklumkan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan membincangkan masa depan pakatan tersebut pada mesyuarat akan datang.
“Kita akan bincang berdasarkan rangka dasar bersama dan prinsip konsensus bahawa kesemua perkara harus mendapat persetujuan ketiga-tiga parti,” katanya.
Tambah beliau, perancangan itu akan menjangkau sehingga lapan tahun dengan mengambil kira program untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang berkemungkinan akan diadakan tiga tahun lagi, berserta perancangan lima tahun selepas pilihan raya tersebut.
Selepas pemenjaraan Anwar pada 10 Februari lalu, ramai pemerhati politik melihat anak kedua Anwar, Nurul Nuha mula diketengahkan bagi meneruskan perjuangan politik keluarganya di Permatang Pauh.
Bagaimanapun Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menafikan desas-desus tersebut.
Beliau sebaliknya mendakwa Nurul Nuha hanya berkempen untuk pembebasan bapanya dan menafikan ia adalah langkah pertama Nurul Nuha untuk menceburi politik dalam pilihan raya kecil itu nanti.
Kerajaan Rakyat
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.