Followers

Friday, February 6, 2015

Monopoli ekonomi: Boikot Umno BN, bukan peniaga

1. Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang menyarankan para pengguna agar memboikot peniaga yang tidak menurunkan harga barangan walaupun harga minyak telah diturunkan sebanyak dua kali bermula Disember tahun lalu, saya ingin menyatakan bahawa yang lebih wajar untuk diboikot dalam hal ini adalah Kerajaan kerana sistem pengurusan ekonomi Kerajaanlah punca pada permasalahan ini . –

Soal kenyataan beliau yang menimbulkan pelbagai reaksi itu saya serahkan sahaja kepada pihak PDRM untuk menyiasat bagi diambil tindakan sewajarnya.

2. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pula mengulangi lagi penegasan beliau untuk mengenakan tindakan keras ke atas mana-mana peniaga yang tidak menurunkan harga barangan mereka menerusi Akta Kawalan Bekalan, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Persaingan. Gesaan itu dibuat dengan para peniaga diminta untuk mencontohi Kerajaan yang sanggup menangguhkan kenaikan tarif elektrik sebagai usaha mengurangkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

3. Walaupun Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menyatakan kesediaan untuk melancarkan kempen boikot besar-besaran terhadap peniaga atau syarikat yang menjual barangan pada harga yang tinggi dan saya juga dengan ini ingin menyatakan sokongan 100% terhadap usaha ini, namun alasan para peniaga khususnya pada peringkat pengeluar atau pengilang dan pemborong ada munasabahnya dan harus diambil kira.

4. Mereka tidak dapat menurunkan (bahkan terpaksa menaikkan) harga barangan kerana berikutan kejatuhan nilai Ringgit, ia menambahkan lagi kos pengeluaran mereka khususnya untuk tujuan pembelian bahan mentah.

5. Peliknya apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengulas berkenaan penyusutan nilai Ringgit ini dengan berkata bahawa ia adalah positif untuk negara. 


Dengan beberapa huraian dikemukakan, beliau berkesimpulan bahawa keadaan itu akan dapat meningkatkan penggunaan barangan buatan tempatan dalam kalangan rakyat serta dapat mengembangkan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

6. Dalam penjelasan beliau itu, tidak pula dinyatakan secara jelas dan pasti apakah punca kejatuhan nilai ringgit, bagaimana negara boleh terjejas dengan keadaan itu dan bagaimana pula Kerajaan akan mengatasinya?

 Bahkan, dengan berkeyakinan penuh terhadap kenyataannya itu, beliau menegaskan bahawa keadaan masih tidak membimbangkan dan tiada keperluan untuk melakukan semakan terhadap KDNK. 


Posted & copy by RAKYAT MARHAEN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.