Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jelajah menjelang keputusan
perbicaraan akhir Liwat II memberitahu penyokongnya beliau bertawakal
dan berserah dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Anwar yang kini berdepan kemungkinan
dipenjarakan dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh
bertemu dengan penyokongnya di seluruh negara.
"Yang bakal saya hadapi 10 Februari
nanti ini, kita bertawakal sajalah dan berserah kepada Allah dalam apa
jua keadaan," kata Anwar di hadapan kira-kira 100 orang ramai yang hadir
mendengar tazkirah Maghrib disampaikannya di Masjid Abu Bakar Ali
Bashah, di Bukit Beruntung, Selangor malam tadi.
Anwar dalam tazkirahnya selepas solat
Maghrib menceritakan mengenai kisah tauladan para nabi dan peranan yang
perlu dimainkan pemerintah dalam menjaga serta memelihara kebajikan
rakyat.
Beliau memberikan contoh dilakukan
kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor yang mengambil peduli tentang
masalah dan hal ehwal rakyat.
"Di Selangor, saya selaku penasihat
ekonomi sentiasa menasihatkan menteri besar baharu (Mohamed Azmin Ali)
supaya mengambil peduli tentang perihal rakyat," katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 26 Januari lalu mengumumkan, keputusan rayuan terakhir Anwar akan dibuat pada 10 Februari ini.
Keputusan panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria itu dijangka dibuat pada jam 9 pagi.
Arifin yang mengetuai panel 5 hakim mula mendengar kes itu pada 28 Oktober dan berakhir pada 7 November lalu.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menolak
keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar
dari dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada
2008.
Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang
diketuai Datuk Balia Yusof Wahi menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara ke
atas Anwar dan membenarkan ikat jamin sehingga keputusan di Mahkamah
Rayuan.
Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di
sebuah kondominium di Desa Damansara, Bukit Damansara antara jam 3.10
hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Beliau dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.
Pihak pendakwa yang diketuai Peguam Umno
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga memfailkan rayuan balas bagi
memohon hukuman yang lebih berat sehingga penjara 20 tahun dikenakan.
Kedudukan Anwar sebagai wakil rakyat bakal terjejas jika dipenjarakan lebih setahun atau denda lebih RM2,000.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.