Followers

Saturday, February 14, 2015

Mana Lebih Wajar, Anwar Kemuka Petisyen Rayuan Atau Tidak?







Perhimpunan Depan Sogo 14-2-2015

Di sebalik kedudukan Anwar Ibrahim yang kini sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan untuk menghuni Penjara Sungai Buloh untuk tempoh lima tahun akan datang, ruang untuk beliau bebas lebih awal sebenarnya tidaklah tertutup sama-sekali.

Satu-satunya jalan terakhir yang boleh dilakukan olehnya untuk memendekkan tempoh hukuman itu ialah dengan mengemukakan petisyen rayuan kepada Yang Dipertuan Agong.

Setelah dihukum pada 10 Februari lalu, Anwar sebenarnya mempunyai ruang selama 14 hari iaitu sehingga 24 Februari depan untuk memikir sama ada mahu mengemukakan petisen rayuan atau sebaliknya.

Jika petisyen rayuan tidak dikemukakan sehingga 24 Februari itu, bermakna kerusi Parlimen Permatang Pauh akan diisytiharkan kosong dan suatu pilihanraya kecil wajib diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.

Bagaimanapun jika Anwar memutuskan untuk mengemukakan rayuan, kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan terus kekal sehingga ada keputusan berhubung rayuan itu.

Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Haji Mulia, baru-baru in tampil dengan kenyataan bahawa kerusi Parlimen itu belum boleh diisytiharkan kosong lagi buat waktu ini.

Katanya, pengumuman rasmi sama ada kerusi itu kosong atau sebaliknya hanya boleh dibuat selepas 14 hari daripada tarikh hukuman dijatuhkan, tetapi tempohnya akan menjadi lebih panjang jika Anwar mengemukakan petisyen rayuan kepada Yang Dipertuan Agong.

Menurut beliau, petisyen rayuan mesti dikemukakan dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan dan jika ia dikemukakan oleh Anwar, kekosongannya hanya dapat disahkan selepas rayuan diputuskan sama ada diterima atau ditolak oleh Yang Dipertuan Agong. Dalam hal ini, apa yang perlu dilakukan oleh Anwar, mengemukakan rayuan atau tidak?

Bagi kalangan yang kental dengan perjuangan PR, lebih ramai yang mahukan beliau tidak mengemukakan petisyen rayuan kerana jika merayu bermakna Anwar mengakui kesalahan liwat yang dihadapkan kepadanya.

Mereka berhujah bahawa menolak rayuan lebih mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap PR serta memperteguh lagi pengakuan tidak bersalah yang sering dilaungkan oleh Anwar sebelum ini.

Kata mereka lagi, dengan simpati, kemarahan rakyat serta tekanan antarabangsa yang diterima Najib ketika ini, beradanya Anwar terus berada dalam penjara dan memainkan peranannya daripada Sungai Buloh adalah lebih baik bagi PR.

Sebaliknya, jika bersetuju mengemukakan rayuan, imej dan kredebilitinya akan hancur dan musnah di mata rakyat.

Sebaliknya, ada pula yang berpendapat, jika yakin rayuan itu boleh mendapat pertimbangan, terutama kerana Anwar pernah berjasa kepada negara semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu, di tambah dengan usianya sudah menjangkau 67 tahun, ini adalah peluang terbaik untuk meneruskan karier politiknya di samping menikmati kehidupan sebagai manusia yang bebas.

Soal ia bermakna mengakui bersalah atas perlakuan liwat jika mengemukakan rayuan, dianggap hanyalah tafsiran teknikal semata-mata.

Selain itu, dalam berhadapan dengan pendirian Mahathir yang terus menyerang dan mengasak Najib bahkan mula menyindirnya tentang perletakan jawatan walaupun setelah Anwar dipenjarakan, Perdana Menteri dinilai banyak pihak sudah tentu lebih suka jika ada rayuan dan berkemungkinan memberi lebih pertimbangan terhadapnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.