Followers

Saturday, February 14, 2015

Kumpulan aktivis muda sertai PKR berhimpun tuntut pembebasan Anwar

 
KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 200 penunjuk perasaan hari ini berkumpul di sekitar pusat membeli belah Sogo di ibu negara bagi menyatakan solidariti terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka mula berkumpul pada jam 4.00 petang Sabtu, sebelum bergerak ke bangunan bersebelahan 15 minit kemudian.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut berada di situ berkata, perhimpunan tersebut rata-ratanya terdiri dari golongan anak muda dan mahasiswa yang mahu Anwar dibebaskan dari penjara.

"Tiap-tiap malam kita telah saksikan orang ramai berkumpul di hadapan penjara Sg Buloh dan menyertai program Cabang-cabang PKR seluruh negara yang mengadakan solat hajat.

"Ini membuktikan rakyat masih mahukan Anwar bebas, dan menolak keputusan hakim Mahkamah Persekutuan," kata beliau pada perhimpunan tersebut.

Katanya minggu ini merupakan yang cukup mencabar kerana selepas Anwar dipenjarakan, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula meninggal dunia.

Menurutnya, kini giliran anak-anak muda pula membawa 'obor' bagi meneruskan perjuangan Anwar, Nik Aziz dan juga mendiang Karpal Singh.

Selain itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut berucap pada perhimpunan tersebut berkata pihaknya tidak akan mengaku kalah dalam menuntut keadilan terhadap ayahnya itu.

Beliau juga meluahkan rasa sedih atas pemergian Nik Aziz pada Khamis lalu.

"Pada hari ini kami memang sedih, tetapi kesedihan itu bukan sahaja meratapi pemenjaraan ayah tetapi juga kehilangan mutiara yang disebut oleh Datuk Seri Anwar iaitu Allahyarham Tok Guru Nik Aziz yang kita semua kasihi," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah juga berkata akan meneruskan tuntutan pembebasan Anwar menerusi ‘March 2 Freedom’.

Beliau juga mengutarakan kemungkinan untuk menyerahkan petisyen pembebasan Anwar kepada Yang Di-Pertuan Agong, selain mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwanya 'mencetuskan konspirasi' terhadap kes Anwar.

Kesemua mereka melaungkan slogan 'reformasi', 'bebas Anwar' dan 'hidup rakyat', sambil mendendangkan lagu serta bermain gendang dan mengenakan pakaian hitam.

Selain Nik Nazmi dan Nurul Izzah, antara yang turut hadir pada perhimpunan yang dipanggil #KitaLawan tersebut ialah aktivis-aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim, Fahmi Zainol, K.S Bawani, serta beberapa pemimpin dari Gamis dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari,menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang ketika itu berumur 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, selepas membacakan keputusan selama hampir 2 jam.





 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.