Followers

Sunday, February 8, 2015

Isu Ismail Sabri: Utusan serang MCA melindungi 'penyangak' Cina

 

Utusan Malaysia dalam kolumnya hari ini berkata MCA sepatutnya faham yang kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dibuat dalam konteks konsumerisme. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Februari, 2015.

Kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menyifatkan tindakan MCA menyerang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob satu perbuatan melindungi "penyangak" Cina yang mencekik darah pengguna.

Ku Seman Ku Hussain yang juga penolong pengarang akhbar edisi Ahad Mingguan Malaysia berkata, tindakan MCA melancarkan serangan terhadap menteri pertanian dan industri asas tani itu dilihat sebagai cuba menjadi jurucakap DAP dalam menyalakan sentimen perkauman.

“MCA ini musang berbulu ayam atau apa? Adakah dengan menyerang Ismail mampu kembalikan keyakinan orang Cina kepada MCA?

“Saya membuat kesimpulan MCA melindungi 'penyangak' Cina yang mencekik darah pengguna (Melayu, Cina dan India).

“Kalau tidak, sudah tentu MCA tidak menyerang Ismail yang bercakap dalam konteks budaya konsumerisme,” katanya seperti disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.

Ku Seman berkata, kenyataan Ismail yang menggesa pengguna memboikot “peniaga Cina yang menaikkan harga barang” bukanlah suatu yang rasis.

Katanya, sebaliknya parti Cina yang rasis, DAP menggunakan peluang itu untuk menyalakan sentimen perkauman seolah-olah Ismail rasis.

“Itu bukan luar biasa kepada DAP, sebaliknya kalau mereka tidak berbuat demikian pula menjadi pelik. “Parti Cina ini memang terkenal dengan agenda rasis. Walaupun begitu orang Melayu dalam DAP belum sedar hakikat ini.

“Saya tidak pernah terfikir ada kaum yang tetap mempertahankan kaumnya walaupun berperangai buruk mencekik darah pengguna dengan menaikkan harga barang,” katanya. Ku Seman berkata, Ismail mendidik pengguna supaya menggunakan kuasa mereka dengan memboikot peniaga dan pemborong yang cekik darah.

Katanya, semua kaum wajar berbangga kerana Ismail tidak tunduk kepada tekanan mendesak supaya meminta maaf.

“Tidak buat salah kenapa mesti minta maaf? Saya harap pendirian beliau tidak berubah walaupun berdepan dengan tekanan politik.

Malah Ismail sudah menjelaskan kenyataan di laman sosial itu bukan bermaksud rasis, sebaliknya peringatan kepada pengguna. “Kita memerlukan orang yang tegas seperti Ismail, bukan seperti sesetengah pemimpin sekali kena gertak terus berpeluh, ketar lutut dan mengalah,” katanya.

Ku Seman berkata antara iktibar yang dapat diambil daripada kenyataan Ismail ialah, sesuatu yang menyentuh orang Cina, DAP dan MCA boleh duduk semeja dan bercakap dengan nada yang sama.

“Kenapa? Sebabnya kepentingan mereka bukanlah politik tetapi kaum. Sesetengah orang Melayu pula lebih memilih politik hingga memecah belah kaum,” katanya.

Semalam, Ismail yang berdepan kontroversi berhubung kenyataan boikot peniaga Cina menyalahkan DAP kerana kenaikan harga barang, selain menggesa rakyat Malaysia melupakan kenyataan perkaumannya di Facebook minggu lalu. Ismail berkata semalam, pembangkang sering menggunakan isu kenaikan harga barang untuk menyalahkan kerajaan.

"Bila harga turun, sepatutnya peniaga menurunkan harga dan faedahnya kepada pihak kerajaan, tetapi apabila harga tidak turun, pembangkang juga, DAP, PAS dan sebagainya menggunakan isu tidak menurunkan harga barang ini untuk menuduh kerajaan gagal.

"Kalau DAP hendak cakap soal rasis, janganlah seperti ketam mengajar anak berjalan, yang paling besar bapa kepada rasis di Malaysia ini DAP," kata Ismail menggunakan peribahasa Melayu.

Berhubung dengan pertemuan dengan polis, Ismail mengatakan beliau mungkin berbuat demikian minggu depan. "Saya sudah beritahu kepada polis yang selepas saya dengan lawatan ke Indonesia, saya ada waktu, mungkin minggu depan lah

"Polis pun kena free juga, saya pun kena free juga." Ismail berkata, kontroversi berhubung kenyataannya di Facebook perlu dihentikan kerana tidak menguntungkan Malaysia.

"Kalau kita masih lagi bercakap pasal perkara yang boleh menimbulkan perasaan sakit hati di antara semua, kita tidak membawa keuntungan kepada masyarakat Malaysia," katanya. – 8 Februari, 2015. - TMI


Posted by mountdweller

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.