Followers

Sunday, February 15, 2015

Guan Eng seru rakan Pakatan hormati semangat kesepakatan !!!


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyeru parti dalam Pakatan Rakyat untuk memelihara kesepakatan antara mereka selepas kematian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan hukuman penjara atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyeru parti dalam Pakatan Rakyat untuk memelihara kesepakatan antara mereka selepas kematian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan hukuman penjara atas Ketua Pembangkang Datuk

Susulan kematian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan hukuman penjara atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP menggesa ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) memelihara permuafakatan di antara mereka dan menghormati prinsip kesepakatan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata sumbangan kedua-dua pemimpin ke arah pembentukan PR mesti dikenang oleh pemimpin dan anggota ketiga-tiga PAS, PKR dan DAP.

"Kita mesti meneruskan usaha mereka mengekalkan PR berasaskan prinsip konsensus terhadap nilai yang disepakati bersama dan mengorbankan sebarang tindakan yang gagal mendapatkan kesepakatan ketiga-tiga parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menegaskan PAS akan meneruskan cadangan meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 bagi melaksanakan hudud di Kelantan, sebagai menyambung warisan Nik Aziz.

Presiden PAS itu menulis di laman Facebook beliau mengatakan melaksanakan Enakmen Syariah itu dalam perundangan negeri merupakan amanah yang ditinggalkan bekas menteri besar Kelantan itu.

Dengan ketiadaan kedua pemimpin itu, terdapat kebimbangan bagaimana gabungan pembangkang itu akan kekal bertahan dengan PAS dan DAP yang sering berbalah khususnya mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan isu hudud.

Kenyataan Hadi dilihat menolak cadangan DAP supaya pelaksanaan pilihan raya PBT dan hukum hudud ditangguhkan sehingga 2023.

Veteran DAP Lim Kit Siang membuat usul itu di Alor Setar pada Khamis, bertujuan menyelamatkan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bagi mengelak perpecahan dalam PR.

“Saya cadangkan apa-apa isu yang kita tidak boleh persetujui bersama, diketepikan untuk tempoh 8 tahun.

“Sama ada ia dibangkitkan oleh PAS, DAP mahupun PKR, kalau masing-masing tidak setuju maka ia perlu ditangguhkan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Guan Eng berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan terus menyokong Anwar.

"DAP menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Anwar dalam mendepani hukuman lima tahun penjara, yang merupakan angkara konspirasi politik untuk mengakhiri kerjaya politiknya dan menghalang perubahan aman ke arah demokrasi yang berfungsi melalui jalan yang diperuntukkan Perlembagaan daripada pemerintahan kuku besi Barisan Nasional.

"DAP menggesa rakyat Malaysia untuk mengubah rasa hiba dan titis air mata mereka akibat pemenjaraan Anwar, menjadi kekuatan untuk menambah lagi usaha ke arah kebebasan, keadilan, kebenaran dan demokrasi.

"Marilah kita menjadikan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sebagai serangan sulung kempen yang bukan sahaja demi membebaskan Anwar tetapi juga membebaskan Malaysia," kata Guan Eng.

Beliau juga menyampaikan salam takziah DAP kepada keluarga Nik Aziz, PAS dan ahlinya kerana kehilangan pemimpin yang disegani ramai itu.

"Almarhum Tok Guru tokoh yang disegani semua rakyat Malaysia, disayangi umat Islam dan amat dihormati warga bukan-Islam atas integriti peribadinya, keberanian dan gaya hidup rendah diri serta sifat manusiawi yang begitu mendalam dan menghormati keharmonian pelbagai agama.

"Tok Guru pastinya akan dirindui atas iman dan taqwa terhadap Islam, keazaman yang utuh ketika berhadapan dengan kekuatan BN dan Umno; kepercayaannya terhadap masa depan PR dan iltizamnya memperkukuhkan PR demi berjuang melawan salahguna kuasa dan korupsi oleh BN yang berleluasa."

Nik Aziz meninggal dunia pada Khamis malam di Kota Baru pada usia 84 tahun akibat kanser prostat.

Guan Eng berkata, DAP juga dengan tegas mengecam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketua pasukan pendakwa dalam perbicaraan kes liwat Anwar dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, di atas serangan tercela dan keji terhadap Anwar dan Nik Aziz, di saat kedua-dua tidak lagi boleh menjawab dan mempertahankan diri.

Demikian merupakan resolusi yang diluluskan sebulat suara oleh CEC DAP dalam mesyuarat malam Jumaat. – 14 Februari, 2015.


http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.