Followers

Saturday, February 7, 2015

DAP tak berhak tentukan kehadiran saya ke mesyuarat Pakatan, kata Hadi



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau berhak menentukan sama ada hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Ahad ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau berhak menentukan sama ada hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Ahad ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak berhak menentukan sama ada beliau perlu hadir atau tidak ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang dijadualkan Ahad ini.

Menjawab persoalan yang ditimbulkan pimpinan DAP, selaras dengan resolusi Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) Selasa lepas yang mengatakan pemimpin DAP hanya akan menghadiri mesyuarat jika ia dihadiri wakil PAS, Hadi mengatakan dia tidak terikat dengan sesiapa.

"Dia (Lim) tidak berhak menentukan saya hadir atau tidak hadir. Terpulang kepada saya nak hadir ke, tak hadir. Saya bukan anak murid sekolah, kita tengok dululah.

“Tengok hari mesyuarat inilah, saya hadir ke tidak hadir. Saya tak bergantung dengan sesiapa saya nak hadir,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di rumahnya di Kampung Rusila, Marang hari ini.

Semalam, Lim seolah-olah meletakkan syarat apabila berkata, Hadi perlu menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR itu bagi membolehkan sebarang keputusan berhubung isu-isu berbangkit dibuat secara kolektif.

Katanya, tanpa kehadiran Hadi, mesyuarat itu tidak dapat diteruskan kerana CEC menetapkan semua keputusan harus dibuat secara kolektif dengan kehadiran semua pemimpin PR.

"Kami mendapat jaminan Hadi akan datang, jika tidak, mesyuarat tidak diteruskan," Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan berkata di George Town, Pulau Pinang.

Mesyuarat PR itu dijadualkan bermula jam 2.30 petang Ahad di ibu pejabat parti PAS di Kuala Lumpur. Terdahulu dari itu, PAS akan mengadakan mesyuarat pimpinannya pada paginya di tempat yang sama.

Antara isu yang dijangka akan hangat dibincangkan ialah pelaksanaan hudud di Kelantan oleh PAS dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang oleh DAP.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini merayu kepimpinan PAS dan DAP tidak meneruskan perbalahan mereka secara terbuka mengenai dua isu itu sebaliknya membawanya berbincang di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR.

Kali terakhir mesyuarat serupa itu diadakan ialah Oktober tahun lepas, manakala Hadi dilaporkan tidak menghadirinya sejak setahun lepas dan hanya mewakilkan pemimpin lain dari PAS.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, dilaporkan Harakahdaily hari ini menafikan dakwaan beliau banyak kali tidak hadir ke mesyuarat berkenaan berbanding dengan pemimpin PR yang lain.

Menurut lidah rasmi parti Islam itu, beliau berkata, pihak terbabit boleh menyemak rekod kehadiran ahli mesyuarat majlis berkenaan bagi menentukan kesahihan dakwaan tersebut.

“Cuma saya rasa bangga, saya lebih banyak hadir mesyuarat dari Lim, kecuali (ketika) saya sakit dulu. Mesyuarat PR, masa saya jadi Menteri Besar pun, saya hadir tiap-tiap kali mesyuarat.

"Saya tidak sibuk macam Ketua Menteri dan jika sibuk pun saya mesti hadir untuk mesyuarat PR. Kalau kata saya banyak tak hadir mesyuarat, itu tak betul. Kena ‘check’ kehadiranlah, siapa paling banyak tidak hadir mesyuarat,” katanya.


http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.