Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengetahui nasibnya esok – sama ada beliau kekal bebas atau meringkuk di penjara.
Pada malam ini, beliau mengambil peluang untuk menyampaikan ceramah, yang mungkin buat kali yang penghabisan kepada para pengikutnya.
Ceramah di Padang Timur, Petaling Jaya itu merupakan program kemuncak kepada siri jelajahnya di seluruh negara.
Anwar akan menggunakan peluang ini untuk menyeru kepada para pengikut untuk kekal memberi sokongan kepadanya.
Minggu lepas, Anwar sempat berjenaka dengan wartawan yang membuat liputan acaranya agar tidak sugul dengan sebarang keputusan.
Beliau turut berkongsi kisah dirinya memberitahu cucunya yang "orang jahat mahu sumbat atuk ke penjara".
Esok, pendakwaan dijangka akan merayu agar Anwar dikenakan hukuman berat atas alasan hukuman penjara lima tahun Mahkamah Rayuan tidak mencukupi.
Seperti kes Liwat 1, Anwar tekal mendakwa kes Liwat II kali ini sebagai satu rekaan semata-mata.
Beliau mendakwa menjadi mangsa konspirasi - satu tuduhan yang dinafikan seteru politiknya dalam kerajaan.
Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada Anwar akan terus bebas atau meringkuk sekurang-kurangnya selama lima tahun dalam penjara.
Beliau sebelum ini disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.
Malaysiakini membawakan liputan langsung dari majlis makan malam ini.
9pm: Anwar memberi ucapan di hadapan kira-kira 2,000 orang hadirin yang memenuhi 200 buah meja majlis makan malam di Padang Timur.
"Anwar di luarkah, Anwar di dalamkah, Pakatan Rakyat padu, maju untuk Malaysia," kata Anwar cuba meyakinkan hadirin yang rata-rata khusyuk menikmati makan malam mereka.
Anwar kemudian menjemput isterinya merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke atas pentas untuk berucap selepas beliau.
"Saya sekarang jemput heroin saya, Wan Azizah untuk ke pentas.
"Saya hendak tinggalkan Kit Siang tak susah sangat, tapi nak tinggalkan Azizah ini ...cukup susah," kata Anwar disambut tepukan hadirin.
Majlis makan malam di kawasan bawah khemah itu berakhir sebaik ucapannya tamat.
Pengerusi majlis meminta hadirin bergerak ke kawasan padangan untuk mengikuti Ceramah Perdana.
Dalam ucapan menggunakan bahasa Mandarin, pangacara majlis tersebut mempromosikan ceramah tersebut sebagai "amanat terakhir" Anwar.
9.40pm: MP Subang, Sivara Rasiah membuka pentas ceramah malam ini dengan ucapan di hadapan hadirin yang sebilangannya bersila di atas padang.
"Saiful Bukhari ini kata dia diliwat banyak kali.
"Tapi dia ini banyak lubang. Banyak lubang dalam cerita dia," kata Sivarasa.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.