Followers

Sunday, February 15, 2015

BN Tidak Akan Bertanding Di DUN Chempaka.. Ini Puncanya?

 
Selepas beberapa pemimpin Umno menyuarakan pandangan agar Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan, terbaru Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut menyokong cadangan kerusi itu tidak perlu dipertandingkan.

Ketua Wanita Umno itu dilaporkan Sinar Harian berkata, secara peribadinya beliau menyokong pandangan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya parti itu tidak bertanding di DUN Chempaka.

"Saya sokong pandangan itu. Saya rasa untuk DUN Chempaka tidak payahlah, sebab di Kelantan lain daripada Permatang Pauh, di Kelantan kita baharu saja melalui banjir.

"Perhatian perlu diberikan kepada pembangunan semula negeri ini," katanya di Kota Baru hari ini selepas menziarahi keluarga bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka.

Sambil menegaskan ia hanya pandangan peribadinya dan perkara tersebut belum dibincangkan di peringkat exco Wanita, Shahrizat berkata sekiranya pilihan raya kecil (PRK) diadakan, dikhuatiri ada antara mereka yang akan terlanjur mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pihak lawan.

"Bila ada PRK, ada yang terkasar percakapan pula," katanya sambil menyatakan beliau senang melihat kerjasama yang amat baik sekali antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam usaha membangunkan semula Kelantan selepas banjir besar hujung tahun lalu.

Mustapa berkata semalam, sekiranya BN tidak bertanding di DUN Chempaka, ia memudahkan kerajaan persekutuan memberi tumpuan dalam usaha bantuan pasca banjir.

Sementara itu, akhbar itu melaporkan, veteran Umno turut menyarankan kepada pucuk pimpinan BN supaya tidak meletakkan calon di DUN Chempaka bagi memberi laluan percuma kepada PAS menang tanpa bertanding.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, selain membolehkan BN dan PAS menumpukan kepada kerja memulihkan mangsa banjir di negeri itu, ia juga akan menyelamatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

"Ia juga mengelak Umno daripada menghabiskan masa dan duit untuk berkempen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, daripada bertanding di DUN Chempaka, lebih baik BN menumpukan gerak kerja di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

"Lebih baik bagi BN menumpukan seluruh gerak kerja di PRK Permatang Pauh bagi menawan kerusi itu daripada PKR," kata Mustapha.

DUN Chempaka kosong ekoran kematian Nik Aziz Khamis lepas yang menderita kanser prostat. Kerusi itu dipegang bekas menteri besar Kelantan itu sejak 1990.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh bakal dikosongkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan Selasa lepas mengekalkan hukuman lima tahun penjara ke atas wakil rakyatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua umum PKR itu didapati bersalah atas tuduhan liwat ke atas bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak melihat kepentingan bagi BN bertanding di DUN Chempaka tetapi wajib bagi BN meletakkan calon di Permatang Pauh.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula dilaporkan berkata menjaga rakyat seharusnya menjadi keutamaan di Kelantan merujuk usaha pemulihan pasca banjir di negeri itu, sambil menambah, mencari wakil rakyat memerlukan perbelanjaan yang besar serta melibatkan tenaga dan masa.
 
Addin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.