Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Ini sebahagian amanat dan pesanan terakhir Perdana Menteri pertama negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebelum peletakan jawatannya sebagai Yang Di Pertua UMNO dalam Persidangan Perhimpunan UMNO yang ke 22 yang berlangsung di Dewan Dragon, Hotel Merlin Kuala Lumpur pada 23 Januari 1971.
“Tuan Pengerusi,
Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ahli-ahli yang berhormat, Dhaif-dhaif dari Sabah dan Sarawak, Tuan-tuan dan Puan-Puan sidang perwakilan sekalian.
Pada hari ini saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan dalam perhimpunan Agung UMNO yang ke 22 ini, adalah sebagai pendirian yang terakhir sebagai Yang Di Pertua UMNO, kerana dalam persidangan perhimpunan Agung ini, yang telah kita taja bersama semenjak 24 tahun yang lalu.
Perhubungan saya dengan UMNO telah bermula semenjak saya mengambil alih pucuk pimpinannya pada 26 Ogos 1951 iaitu kira-kira 20 tahun lamanya. Pendek kata anak-anak yang lahir waktu saya terima jawatan Yang Di Pertua ini, sekarang berumur 20 tahun, dan ada pula rakan –rakan seperjuangan yang telah meninggal dunia dan tidak berada bersama-sama kita lagi. Kita ingat mereka dengan kenang-kenangan selama-lamanya.
Ahli-ahli UMNO pada hari ini terdiri daripada orang-orang dan ahli-ahli yang asal yang telah berjuang dan mendukung UMNO ini semenjak ditubuhkan dan juga daripada orang-orang muda yang baharu masuk dan baharu merangkak-rangkak dalam perjuangan UMNO.
Jika kita kenangkan bahawa negeri ini, negeri yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa keturunan dan berbilang agama dan bilangan kita orang-orang melayu hanya separuh sahaja daripada jumlah penduduknya, maka kita merasa bangga dan megah kerana kita telah berjaya menjadikan agama Islam agama rasmi negara dan Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan dan rasmi yang tunggal dalam negara ini.
Wawancara bersama Tunku pada tahun 1988
Di manakah dalam dunia ini sebuah negara yang bercorak demokrasi dapat menikmati taraf kedudukan yang begitu tinggi dan mencapai segala maksud dan cita-cita kebangsaan yang kita idam-idamkan itu.
Saya sedar dalam UMNO pada hari ini ada banyak orang-orang baharu, di antara mereka ialah orang-orang yang bukan asal UMNO dan berhati perut UMNO. Setengah-setengah daripada mereka datang daripada parti lain yang sudah lenyap kerana dasar parti-parti itu tidak dapat sambutan dari orang-orang melayu.
Mereka menyeludup masuk dalam UMNO untuk menumpang kekuatan UMNO. Antara mereka ada yang memuji-muji menteri yang telah kita pecat kerana belot dan durhaka kepada parti. Orang-orang seperti ini saya sifatkan sebagai musuh dalam selimut. Jaga-jagalah mereka, kerana mereka cuba menjaja lampu baharu untuk mendapatkan lampu lama yang ajaib itu dan dengan mencuri lampu lama yang ajaib ini mereka dapat menguasai parti kita dan seterusnya memegang kuasa dalam negara kita ini.
Sebagai pesanan saya yang terakhir kepada saudara-saudara seperjuangan, janganlah terpedaya atau makan dengan dakyah-dakyah orang yang hendak memecah belahkan parti kita dan menghancurkannya dari luar. Jagalah baik-baik kepada lampu ajaib yang lama itu yang telah memberi hikmat besar selama ini bagi kita dan negara kita.
Ahli-ahli UMNO yang jujur, jika ada apa-apa cadangan yang berfaedah dan baik untuk muslihat rakyat dan negara, maka sampaikanlah cadangan-cadangan itu kepada ketua-ketua UMNO dan janganlah pecahkan UMNO kepada tua dan muda atau baharu dan lama.”
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970.
Beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".
Kerajaan Rakyat
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.