Followers

Monday, February 2, 2015

Altantuya dibunuh: Segalanya belum selesai sehingga rakyat berkata ianya selesai! oleh Francis Paul Siah



SEKILAS PANDANG: Mungkin Malaysia perlu menggaji detektif Hercule Poirot, Matlock atau Jessica Fletcher di dalam merungkai misteri pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu.

Tetapi di negara ini, di mana yang mustahil boleh berlaku, mungkin pakar siasatan yang disebut di atas akan turut berdepan kesulitan.

Kes Altantuya dibunuh sudah tentu dianggap berprofil tinggi dan telah berlaku hampir sedekad yang lalu.

Ia mencuri tumpuan semua pihak kerana melibatkan personaliti dengan hubungan politik tertentu. Pendek kata, kes wanita Mongolia itu dibunuh amat aneh, tragik dan diselubungi misteri. Adakah wanita itu datang ke Malaysia bagi menuntut sejumlah wang yang banyak? Yang tentu, tubuhnya diletupkan.

Sudah pasti pihak polis juga sukar melakukan penyiasatan kerana dua orang rakan sejawat mereka terlibat sama.

Rakyat Malaysia sangsi dengan PDRM apatah lagi apabila bahan letupan C4 dapat dicuri daripada ibupejabat polis bagi digunakan di dalam jenayah tersebut. Datuk Zaid Ibrahim betul apabila berkata rakyat menggesa jawapan diberi di dalam merungkai misteri Altantuya dibunuh.

Kita mahu tahu mengapa wanita itu diletupkan di kawasan hutan Bukit Cerakah. Saya membaca tulisan Zaid dan amat bersetuju dengan perkara yang ditimbulkan beliau.

Zaid berpendapat hukuman ke atas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar memberi sedikit keadilan kepada Altantuya, tetapi luka yang dirasai keluarganya tidak akan terubat.

Pastinya sukar menerima berita seorang anak perempuan, ibu, dan rakan kita dibunuh kejam walaupun ia berlaku sembilan tahun dahulu. Malah rakyat Malaysia merasa marah, kecewa, sakit hati dan turut menderita.

Pihak berkuasa mungkin tidak sedar bahawa cara kes ini ditangani mencetus kemarahan rakyat. Cuba kunjungi laman-laman berita dan anda tentu faham maksud saya.

Pendapat Zaid perlu dipandang serius kerana beliau berkata “pendakwaraya sudah pasti mahu cerita sebenar, kerana hanya orang gila membunuh tanpa sebarang motif.” “Negara kita akan dianggap cuai kerana tidak berjaya menemukan kebenaran di dalam kes pembunuhan Altantuya.”

“Buat masa ini kita tahu dua orang didapati bersalah. Mungkinkah sebenarnya lebih ramai terlibat?” Datuk Zaid Ibrahim tidak bersendirian di dalam berkata bahawa rakyat amat kecewa dengan cara kes berprofil tinggi ini ditangani oleh pihak berkuasa Malaysia.

Kepada pihak yang terlibat: Jangan ingat rakyat Malaysia semuanya bodoh! Kes ini belum selesai selagi rakyat tidak mendapat jawapan sebenar! Kongsikan Cerita Ini:


Posted by mountdweller

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.