Followers

Sunday, February 22, 2015

Aktivis Adam Adli tidak terganggu dengan tangkapan polis OLEH MUZLIZA MUSTAFA

Aktivis Adam Adli Abdul Halim ketika ditangkap polis ketika menyertai demonstrasi Kita Lawan di pusat beli-belah Sogo, semalam.

Aktivis Adam Adli Abdul Halim ketika ditangkap polis ketika menyertai demonstrasi Kita Lawan di pusat beli-belah Sogo, semalam

Aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim tidak bimbang dengan tindakan polis menangkapnya semalam, mengatakan "perkara biasa" baginya ditangkap pihak berkuasa kerana menyuarakan pendapat.

Beliau berkata demikian kepada media di luar lokap polis Jinjang di Kuala Lumpur, beberapa minit selepas polis melepaskannya dan Koodinator Jingga 13 Fariz Musa yang juga ahli PKR, dengan jaminan polis hari ini.

Kedua-dua mereka ditahan berhampiran kompleks beli-belah Sogo di bandaraya kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan "Kita Lawan" menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jalan macam biasa. Perkara ini (tangkapan) biasa bila kita bawa satu-satu agenda,” katanya.

Adam juga memberi amaran yang polis akan membuat lebih banyak tangkapan terhadap mereka yang menyertai perhimpunan semalam yang dianggap polis melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Bukan saya dan Fariz saja. Ramai lagi akan kena," katanya.

Susulan penahanannya, Adam berkata dia bertanya kepada pegawai yang menangkapnya kenapa dia ditangkap. Tetapi, mereka cuma memberitahunya yang mereka hanya menjalankan tugas.

"Mereka juga enggan memberitahu apabila saya bertanya siapa yang mengarahkan tangkapan itu," kata Adam.

Beliau berkata polis mengambil kenyataannya mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana mengadakan perhimpunan 5 orang atau lebih dengan niat jenayah.

"Itulah sebab saya sedang disiasat. Saya tidak boleh komen lebih lagi kerana ia masih dalam siasatan," katanya.

Ini merupakan kali ketujuh dalam tempoh tiga tahun Adam ditangkap polis.

Aktivis itu, bekas pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris, pada masa ini mengikuti program Ijazah Undang-undang di Brickfields Asia College.

Beliau yang sering lantang mengkritik dasar kerajaan berkata, pada waktu ini beliau mengurangkan aktivitinya sejak tahun lepas bagi memberi tumpuan kepada pengajian.

Adam dan Fariz ditangkap petang semalam selepas memberi ucapan menyokong Anwar, yang kini sedang menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh.

Para peserta perhimpunan itu, sebahagian besarnya memakai pakaian hitam dan melaungkan slogan seperti 'reformasi', 'Anwar bebas' dan 'panjang umur rakyat'.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah unit kondominium di Damansara pada Jun 2008.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel 5 hakim menyampaikan penghakiman dan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas. – 22 Februari, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.