
Beliau berkata laporan audit yang dikemukakan memang tidak ada masalah
dan menambah apa yang berlaku dalam pembayaran tersebut memang
bercanggah dengan tatacara dan prosedur kewangan.
Azmin mendakwa perkara itu telah diteliti oleh pengurusan MBI. Tambahnya
satu jabatan bebas telah ditubuhkan untuk melakukan siasatan dan
terbukti daripada dokumen yang dibentangkan itu memang berlaku
penyelewengan dan penyalahgunaan.
Kata Azmin, MBI telah melakukan cara yang cukup diplomatik bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik.
“Sekiranya ada penyelewengan kita minta mereka pulang balik dan
sekiranya ada hak mereka kita akan bayar. Namun pembayaran itu mesti
mengikut garis panduan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas
majlis pelancaran misi bantuan pembersihan bencana banjir di negeri
Kelantan oleh pihak berkuasa tempatan negeri Selangor.
Beliau juga berkata tidak akan mencampuri urusan jabatan audit dalam
menjalankan siasatan dan yakin pasukan audit itu telah ambil semua
langkah bagi memastikan ketelusan.
Sebelum ini, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar
(MBI) Faekah Hussin mengakui telah menerima surat tuntutan pemulangan
keseluruhan wang yang diberikan oleh pengurusan MBI kepadanya sebelum
pentadbiran baharu mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan negeri
Selangor.
Faekah menyatakan kekesalannya serta menyifatkan pentadbiran MBI
sekarang sebagai bertindak melampaui batas yang luar biasa berkaitan isu
MSS (Mutual Severance Scheme).
Azmin dimaklumkan oleh pengurusan MBI bahawa mereka yang terlibat ini
telah diberikan masa dua minggu untuk menjawab surat tuntutan
berkenaan.
Sekiranya mereka gagal memberi respon, akan ada tindakan-tindakan yang telah diputuskan oleh pengurusan MBI.
“Tindakan itu akan diumumkan oleh pihak MBI selepas tempoh itu tamat,”
jelasnya. Kerajaan Negeri Selangor pada 3 Disember, mendedahkan laporan
pampasan wang sebanyak RM2.6 juta teleh diberi kepada lapan kakitangan
bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Laporan itu turut mendedahkan bayaran pampasan sebanyak 30 peratus
daripada gaji didarabkan dengan jumlah bulan yang telah berkhidmat.
Sebelum ini, Faekah dikatakan penerima jumlah terbesar pampasan
tersebut. Faekah didakwa menerima bayaran sebanyak RM700,000. Manakala,
Setiausaha Akhbar Khalid Ibrahim, Arfa’eza Abdul Aziz menerima pampasan
RM358,000 dan RM55,000 ganti kepada notis tiga bulan dan Setiausaha
Politik Mustapa Mohd Talib menerima RM265,000.
Pembantunya yang lain didakwa dibayar antara RM97,000 dan RM230,000
masing-masing sebagai pampasan dan di antara RM18,000 dan RM69,000
sebagai ganti kepada notis tiga bulan mereka.
Berkaitan:
MBI: Pampasan RM2.6 juta langgar prinsip asas
[Selangorku] Kontroversi pampasan RM2.6 juta kepada bekas kakitangan
Pemerbadanan Menteri Besar Incorporated (MBI) yang menjadi pembantu
pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kian memuncak dalam media.
Ikuti temu bual Selangor Kini, Afeeqa Afeera bersama Ketua Pegawai
Eksekutif baharu MBI, Yang Mulia Raja Shahreen Raja Othman bagi
memperinci isu berkenaan.
Pandangan mengenai kontroversi pampasan yang mengaitkan lapan bekas kakitangan MBI?
Kontroversi itu semua orang sudah tahu kerana apabila pengurusan baharu
masuk, ia sudah terjadi dan bayaran sudah dibuat. Berdasarkan dokumen
dan laporan yang ada, perkara itu bermula semasa Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim meletak jawatan dan pegawai serta pembantunya turut sama
berhenti.
Isunya berkaitan mengenai prinsip prinsip asas takbir urus korporat.
Berdasarkan laporan audit yang bebas (independent), prinsip prinsip asas
yang dilakukan tidak menepati piawai dan ia perlu dilihat semula oleh
MBI. Secara dasar, yang dapat saya terangkan, masalah timbul kerana
asasnya tidak dipatuhi.
Siapakah yang bertanggungjawab membuat keputusan dan meluluskan bayaran?
Dari segi prosedur yang betul, pampasan kepada sesiapa pun sepatutnya
sama ada melalui Skim Pemberhentian Sukarela (VSS-Voluntary Separation
Scheme), Skim Pemberhentian Kerja (MSS-Mutual Separation Scheme) atau
apa-apa skim pencen perlu mendapat kelulusan ahli Lembaga Pengarah.
Jadi, situasi di MBI tidak terkecuali.
Apabila ia dibawa masuk ke mesyuarat ahli Lembaga Pengarah, perkara itu
perlu mendapat persetujuan menyeluruh, bukan hanya bersetuju atas dasar
prinsip tetapi perlu dibuat secara terperinci dan muktamad
(keseluruhan).
Semua kertas kerja, penyelidikan dan perkara berkaitan yang dibuat perlu
dirujuk untuk keputusan kepada ahli Lembaga Pengarah supaya mereka
mengetahui bagaimana implikasi kewangan, impak kepada syarikat, setiap
seorang dapat berapa (pampasan), bagaimana kira-kira dan sebagainya. Itu
semua perlu diambil kira.
Ketika keputusan dilakukan, adakah ia dimaklumkan terlebih dahulu kepada semua ahli Lembaga Pengarah MBI ketika itu?
Pemaklumkan secara keseluruhan itu tidak berlaku kerana berdasarkan
laporan audit yang diteliti, ia hanya bersetuju atas dasar prinsip. Bagi
saya, ia hanya berdasarkan kepada itu sahaja, bukannya secara
menyeluruh dan terperinci.
Adakah keputusan itu diputuskan oleh MBI sahaja atau membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)?
Tidak. Ia hanya membabitkan MBI sahaja.
Bekas CEO MBI, Faekah Husin mendakwa laporan audit berhubung isu
pampasan itu cacat, tidak profesional dan berniat jahat. Pandangan?
Audit yang dilakukan adalah independent dan objektif dan ia Itu
berdasarkan program audit yang dilakukan oleh pasukan audit yang
berpengalaman luas. Jadi saya tidak boleh komen tentang cara pengauditan
itu.
MBI sudah mengedar surat tuntutan pulangan pampasan. Jika tiada maklum
balas dalam tempoh ditetapkan, adakah bentuk tindakan akan diambil?
Kita perlu tunggu sehingga tempoh 14 hari sebelum tindakan susulan dibuat.
Adakah isu pampasan menjejaskan pengurusan MBI kerana ia menimbulkan pelbagai kontroversi terutama dalam media?
Tidak. Kami kini sedang berusaha untuk kehadapan dengan lebih fokus.
Siapa yang membuat keputusan supaya tuntutan pulangan wang pampasan dilakukan?
Ia diputuskan MBI sendiri setelah meneliti semua laporan laporan yang ada.
Berdasarkan senarai 14 kakitangan yang berhenti, adakah lapan sahaja yang menerima pampasan melebihi jumlah sepatutnya?
Ya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.