Koperal Sirul Azhar Umar yang dijatuhi
hukuman mati kerana atas kesalahan membunuh penterjemah Mongolia
Altantuya Shaariibuu ditawarkan tiket percuma untuk pulang ke tanah air
bagi menghadapi hukuman.
Tawaran itu dibuat pengerusi NGO pemantau jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan.
Peguam Sirul sebelum ini mendakwa anak
guamnya itu tidak dapat pulang ke tanah air bagi menghadapi perbicaraan
baru-baru ini kerana kesempitan wang.
"Saya secara peribadi ingin menawarkan beliau tiket percuma untuk pulang ke Malaysia dari Australia.
"Jika alasan yang disebut peguamnya
betul dan beliau tiada niat untuk lari daripada penghakiman Mahkamah
Persekutuan, maka beliau akan menerima tawaran ini dan kembali ke tanah
air untuk menghadapi hukuman," kata Sanjeevan dalam kenyataan.
Menurut Sanjeevan, alasan kesempitan
wang untuk kembali ke tanah air bagi menghadapi pendengaran di Mahkamah
Persekutuan itu "tidak dapat diterima sama sekali".
Sanjeevan turut melahirkan rasa kesal
yang teramat sangat kerana Sirul dibenarkan bebas daripada ikat jamin
sewaktu rayuan masih dibuat ke atas pembebasannya.
Menurutnya, pergerakan Sirul sepatutnya dipantau secara rapi selepas dibebaskan dengan ikat jamin.
"Bagaimanakah seorang suspek pembunuhan dalam kes berprofil tinggi boleh meninggalkan negara tanpa dikesan?
"Ini perlu disiasat dan kita perlu malu dengan ketidakcekapan pihak berkuasa kita," katanya.
Selasa lalu Mahkamah Persekutuan
mengekalkan hukuman bersalah terhadap Sirul dan Cif Inspektor Azilah
Hadri dalam kes pembunuhan paling kontroversi di negara ini.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 membebaskan mereka dari tuduhan menyebabkan kematian Altantuya.
Altantuya berkhidmat sebagai penterjemah
dalam pembelian kapal selam Scorpene sewaktu Datuk Seri Najib Razak
menjadi menteri pertahanan.
Kerajaan kini dilaporkan sedang mencari ikhtiar untuk mengekstradisi Sirul pulang ke Malaysia untuk digantung.-MKINI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.